PENYERANG berbisa Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj memohon agar rakyat Malaysia terus mendoakan agar gol jaringannya akan dinobatkan sebagai pemenang pada Anugerah Puskas kelak.

Jelasnya, dia tidak menyangka gol tersebut mampu menarik perhatian bukan sahaja dalam Malaysia malah Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) turut mengagumi jaringan tersebut.

“Terima kasih kepada FAM kerana menjalankan tugas mereka untuk membawa gol tersebut ke FIFA.

Dua pemain Negeri Sembilan FC dilihat mengawal gerakan Hein Htet Aung.

“Sean memang tidak sangka gol itu dapat banyak perhatian dalam negara dan di dunia. Haraplah Sean boleh dapat peluang untuk jadi antara wakil di Puskas nanti.

“Apa yang Faiz Subri lakukan adalah kebanggaan untuk negara dan jikalau Sean dapat peluang tersebut, sama macam dia Sean harap sangat satu Malaysia mendoakan Sean untuk memenangi Anugerah Puskas 2022,” ujarnya kepada Flash Sukan.

Sementara itu, bekas tonggak skuad Malaysia B-23 itu turut menyeru penyokong agar terus berada di belakang pasukan dalam aksi Liga Super seterusnya menentang KL City FC dalam meniti penghujung saingan.

Pemain Negeri Sembilan FC dilihat membantah keputusan pengadil perlawanan.

Baginya, posisi tiga terbaik dalam Liga Super sudah cukup bermakna kerana Negeri Sembilan FC sudah lama tidak berada dalam kelompok tiga teratas saingan liga.

“Kita masih ada dalam enam perlawanan lagi. Saya harapkan sangat penyokong Negeri Sembilan menunjukkan sokongan mereka dan itu akan menjadi pembakar semangat untuk kekal di posisi nombor tiga Liga Super.

“Saya rasa satu perlawanan yang baik kerana Kuala Lumpur baru sahaja menang Piala AFC, dan kita pun menang empat perlawanan berturut-turut,” jelasnya yang miliki ketinggian 1.81 meter.

Terdahulu, perkara itu disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM pada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 pada 11 Ogos lalu menerusi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S.Sivasundram.

“Jawatankuasa mengesahkan untuk gol yang dihasilkan pemain Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj ketika perlawanan Liga Super 2022 menentang Selangor pada 31 Julai 2022 dihantar secara rasmi cadangan pencalonannya ke FIFA untuk Anugerah Puskas FIFA 2022,” tulis kenyataan media itu.