PENYERANG veteran Kuala Lumpur City FC, Mohd Safee Mohd Sali menganggap pasukannya memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super pada Khamis.
Safee,38, mengakui kelebihan sebagai ‘home’ tidak boleh dipersia-siakan untuk menggenggam tiga mata penuh.
Malah, dia juga menyeru semua penyokong untuk hadir ke stadium untuk membantu mereka lebih bersemangat beraksi dengan lebih baik menentang The Jangs.
“Memang satu kelebihan kita berada di laman sendiri, dan kita pastinya ingin mendapatkan mata penuh di gelanggang sendiri.
“Saya mahu fokus untuk pasukan untuk mendapat kecemerlangan untuk musim ini. Tahun lepas kita berjaya dalam Piala Malaysia. Tahun ini kita harapkan dapat membuat satu lagi sejarah buat pasukan Kuala Lumpur.
“Mereka (NSFC) cuba melakukan yang terbaik. Persembahan mereka juga baik dalam liga. Kita tidak boleh keciciran mata. Kita harus bersedia bertemu Negeri Sembilan FC dan mengekalkan momentum dalam pasukan.
“Memang ianya memberikan satu suntikan moral untuk beraksi dengan cemerlang untuk beraksi dengan Negeri Sembilan FC,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Dengan saingan liga yang semakin menuju penamat, kedua-dua pasukan dilihat mempunyai kekuatan seimbang kerana Kuala Lumpur City FC baru sahaja mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 manakala Negeri Sembilan FC pula mencapai kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi Liga Super 2022 sekaligus ia antara perlawanan menarik yang perlu disaksikan.