EDISI kedua Biz Link Properties Purple League Corporate yang berlangsung di Setapak Badminton Centre hujung minggu lalu telah memukau para peminat sukan badminton itu apabila mereka disajikan dengan aksi menarik oleh para pemain amatur, veteran dan profesional.

Tidak ramai yang menyangka bahawa golongan korporat dan pemain sosial dapat beraksi dengan baik bersama dengan bekas pemain kebangsaan apabila mereka mengenepikan pangkat dan gelaran mereka untuk bertarung di atas gelanggang bagi merebut gelaran sebagai juara keseluruhan.

Pertandingan yang diperkenalkan oleh Malaysia Purple League (MPL) ini adalah bertujuan untuk memupuk gaya hidup sihat selain menyediakan satu platform terbaik untuk mereka bermandi peluh melalui pertandingan badminton seperti ini.

 

Antara pasukan yang mencuri tumpuan pada dua minggu kejohanan berlangsung ialah Oriental Real Estate yang berjaya menjuarai Kumpulan B sekaligus mara secara automatik ke separuh akhir.

Syarikat yang mula beroperasi pada tahun 1988 itu cukup sinonim dengan perniagaan hartanah dan perumahan di Malaysia itu mendominasi saingan di dalam Kumpulan B apabila menundukkan Senheng (12-7) sebelum membelasah Genting Malaysia (15-0).

Antara aksi Biz Link Properties Purple League Corporate

Dalam pada itu, Top Glove pula muncul juara Kumpulan A dengan mengumpul sebanyak 170 mata untuk menempah slot di separuh akhir menanti pemenang di antara Genting Malaysia dan Senheng manakala Oriental Real Estate bakal berdepan pemenang di antara Dr.KO dan Perbadanan Putrajaya pada Sabtu.

Pusingan akhir Biz Link Properties Purple League Corporate akan melabuhkan tirai pada hujung minggu ini dengan pusingan suku akhir dan separuh akhir dijadual berlangsung pada Sabtu sebelum perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga akan diadakan pada Ahad di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur.