KREDIT FOTO: Terengganu Polygon Cycling Team
BERBAKI kurang dari tiga bulan sebelum penganjuran perlumbaan berbasikal antarabangsa terbesar dalam negara bermula Le Tour De Langkawi (LTdL), Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) kini gigih mempersiapkan pasukan untuk meraih podium pada Oktober nanti.
Turkiye menjadi destinasi pilihan bagi program latihan pasukan berbasikal negara ini memandangkan keadaan geografi beraltitud tinggi menjadi kelebihan dalam arena perlumbaan sukan berbasikal bertaraf profesional ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood menjelaskan selain program latihan beraltitud tinggi turut berlangsung adalah penyertaan beberapa siri perlumbaan bertaraf 1.2 UCI di negara benua Eropah yang akan menjadi tambah nilai bagi program latihan pasukan itu.
“Sekali lagi berkampung di Turkiye bagi program kem latihan persediaan pasukan untuk memberi fokus Le Tour De Langkawi pada Oktober nanti. Sebenarnya fokus kali ini juga merupakan serampang dua mata buat TSG dan juga bersama rakan penaja.
“Buat TSG, sepanjang program kem latihan ini juga TSG akan menyertai beberapa siri perlumbaan di negara benua Eropah ini untuk terus mengutip mata bagi mengekalkan pendahulu Juara Asia sekaligus untuk mengekalkan kejuaraan yang telah dikecapi musim lalu.
“Manakala bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu selaku rakan penaja musim ini sememangnya pasukan berbasikal TSG ini menjadi platform terbaik buat mana-mana rakan penaja untuk meneroka sebarang peluang yang mampu menjadi pulangan pelaburan buat rakan-rakan penaja.
“Sememangnya TSG sebagai sebuah pasukan berbasikal bertaraf antarabangsa telah menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan pihak kerajaan Turkiye secara tidak langsung kami seolah-olah menjadi duta untuk merapatkan jurang di antara dua negara malah mampu untuk membuka pintu sebarang peluang dan ruang buat kedua-dua pihak.
“Kemuncak program kem latihan kami adalah untuk menyertai perlumbaan Tour of Iran yang bertaraf 2.1 UCI di mana sebaik sahaja selesai momentum perlumbaan itu kami terus beraksi di LTdL.
“Jadi ianya satu momentum yang terbaik buat pasukan dan juga satu penanda aras bagi rangka program kem latihan yang telah dirancang. Juga sebelum melabuhkan tirai kalendar perlumbaan UCI musim ini, TSG juga telah dijemput untuk menyertai perlumbaan di Taiwa dan di Jepun nanti,” ujar Che Ku Mohd Izmuddin yang ditemui Flash Sukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Nerus.
Kemuncak program latihan pasukan ini adalah dengan penyertaan perlumbaan Tour of Iran yang bertaraf 2.1 UCI sebelum memulakan cabaran kayuhan di pentas LTdL nanti.