KETUA Pasukan Bawah 19 tahun (B-19) Selangor FC, Akmal Izzuddin Azlan menuntut rakan sepasukan bermain mati-matian dalam perlawanan akhir pertama Piala Belia 2022 menentang Sri Pahang FC di Stadium UITM, Shah Alam.

Jelasnya, tanggungjawab yang dipikul sebagai kapten sangat besar kerana perlu sentiasa menaikkan motivasi pemain agar mengikut arahan jurulatih, Firdaus Aziz.

“Insha Allah pada final esok, kami akan bagi 100 peratus dan kami akan main mati-matian untuk beri tentangan kepada Sri Pahang.

Firdaus Aziz (kiri) dan Akmal Izzuddin Azlan semasa sidang media di Shah Alam.

“Sasaran peribadi bagi saya sebagai kapten, tanggungjawab untuk membantu dan memberi galakan kepada pasukan sangat besar. Kami akan cuba yang terbaik untuk esok, menang Insha Allah,” katanya semasa sidang media pra-perlawanan aksi final pertama Piala Belia 2022 esok.

Sementara itu, Ketua Pasukan Bawah B-19 Sri Pahang FC, Muhammad Amirul Haikal Razali pula mendambakan untuk membawa Piala Belia 2022 ke Pahang.

Bagaimanapun, dia enggan memandang rendah keupayaan pasukan Selangor FC yang rata-rata dibarisi pemain berkualiti serta berharap mampu mencuri gol di tempat lawan sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di laman sendiri.

 Muhammad Amirul Haikal Razali.

“Bagi saya dan rakan sepasukan, alang-alang kita sudah sampai ke sini (Stadium UiTM, Shah Alam) , saya harap kami dapat membuat yang terbaik dan membawa piala ini ke Sri Pahang.

“Kita tidak boleh pandang rendah kepada pasukan Selangor kerana kita tahu mereka mempunyai pemain yang begitu hebat.

“Kita harap kita dapat jaringkan gol di tempat lawan dan saya harap pemain dapat bermain sehabis baik pada hari esok,”ujarnya.