PENGENDALI Datuk Dollah Salleh menyifatkan kemenangan Sri Pahang FC menundukkan Penang FC 3-2 di tempat lawan merupakan suatu kelegaan bagi dirinya.
Ia susulan musibah dan nikmat serentak yang dialami keluarga dan beberapa pemain kendalian jurulatih berusia 58 tahun itu meskipun dalam tekanan, namun masih berupaya menjelmakan kemenangan di tempat lawan.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui berasa agak selesa kerana dibantu dengan ’empat kombo’ berpengalaman sekaligus meredakan tekanan membimbing pasukan dari pantai timur itu.
“Saya sebenarnya dalam perjalanan sudah macam-macam sudah masuk ke hospital dan sebagainya. Menantu saya sudah masuk hospital untuk cucu kelima. Dua cucu pula masuk wad sebab selesema babi (H1N1).
“Banyak berlaku pada pemain, ada yang kena influenza, ada yang kena Covid-19, ada yang demam. Hidalgo kita bawa semalam datang naik flight pukul 12.30 pagi, termasuk Rodriguez apabila ada masalah keluarga, kita terpaksa terbangkan dia semalam.
“Tugas saya agak mudah, dulu saya beban seorang, sekarang kita berempat. Saya, Fandi Ahmad, Datuk Ahmad Yusof, Ahmad Shaharuddin Rosdi. Kita sentiasa berbincang tentang barisan utama dan pertukaran. Keempat-empat jurulatih main peranan,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata kekalahan pasukan tersebut kepada Sri Pahang FC adalah berpunca daripada gol mudah yang dilepaskan kepada pasukan lawan.
Jelasnya, disiplin pemain di bahagian pertahanan harus dipertingkatkan bagi mengelakkan terhasil gol mudah yang sepatutnya dapat dielakkan sekiranya pemain lebih berdisiplin.
Selain itu, beliau menegaskan punca kekalahan pasukan tersebut adalah dari aspek kurangnya kepantasan untuk memburu gol seterusnya setelah jaringan kedua berjaya dilakukan pemain Penang FC.
“Walaupun mereka berlawan hingga ke saat akhir, tiada gunanya kerana kita melepaskan gol mudah. Disiplin perlu diperketatkan khususnya di bahagian pertahanan.
“Saya tahu mereka ingin menang hari ini (semalam) tetapi apabila kita hilang bola, kita harus berdisiplin kerana kita bermain dengan satu pasukan yang sedang meningkat dan mempunyai jentera serangan yang baik.
“Di saat-saat akhir inilah yang diperlukan urgency, selepas kita dapat gol yang kedua kita lihat sedikit kekurangan untuk mereka mencari gol yang ketiga,” ujarnya.