DI sebalik kejayaan penyerang berbisa Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj yang menjaringkan gol luarbiasa sehingga ianya meraih tumpuan dari seluruh dunia termasuk  Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), terdapat kedukaan yang menimpa seorang individu yang tidak kurang hebatnya dalam memastikan kejayaan buat skuad Negeri Sembilan FC.

Individu tersebut adalah Jurulatih Penjaga Gol Negeri Sembilan FC, Megat Amir Faisal Al-Khalidi Ibrahim yang kini berdepan dengan ujian besar apabila isteri kesayangannya mengalami masalah kesihatan yang agak serius.

Perkhabaran yang diterima turut dirasai pemain termasuk Sean apabila seluruh pasukan nekad untuk menghadiahkan wang insentif yang diterima pasukan sebelum perlawanan untuk dikongsi bersama dan menyerahkannya kepada Megat Amir untuk kegunaan rawatan isterinya.

“Dalam kiraan kita, perlawanan dengan Selangor itu sebenarnya kita sasarkan satu mata tetapi bonus sekiranya menang dan kita telah berjanji kepada jurulatih selepas kita tahu apa yang dilalui keluarganya.

“Kita memang telah berjanji kalau kita menang bonus dan apa yang kita dapat sebagai insentif untuk diberikan kepada jurulatih. Ia boleh disifatkan sebagai hadiah daripada Tuhan. Kita sebenarnya sasarkan seri. Bukan senang untuk bermain di sana kerana Selangor tidak pernah tewas di laman sendiri.

“Gol saya memang saya hadiahkan kepada jurulatih Megat dan keluarganya. Memang selepas perlawanan saya cakap dengan dia kita semua di belakangnya, kita perlukan semua untuk kebaikan pasukan.

“Apa yang membakar semangat kita adalah seseorang dalam keluarga kita perlukan bantuan. Saya rasa pemain pada malam itu memang berikan yang terbaik untuk mencari mata penuh,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, dengan prestasi yang menjadi sebutan, Sean berharap dia dapat menarik perhatian Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon bagi panggilan ke skuad negara.

Barisan Kejurulatihan Negeri Sembilan FC

“Daripada kali pertama, saya masuk ke pasukan Negeri Sembilan, sasaran saya adalah bermain untuk skuad kebangsaan. Saya memang hendak sangat bersama pasukan negara, jadi saya berharap sangat dapat peluang daripada jurulatih Kim Pan-gon.

“Kalau diberi peluang, tidak bulan depan, kalau tahun ini tidak sempat, mungkin tahun depanlah tetapi saya berharap nama saya akan dipanggil.

“Saya memang bersedia, saya memang tunggu lama, saya dah berlatih bersungguh-sungguh. Saya telah sangat bersabar dari bangku simpanan kemudian diserap ke kesebelasan utama. Saya rasa saat yang tepat kalau saya dipanggil tetapi itulah semuanya terpulang kepada ketua jurulatih,”kongsinya.