KEKALAHAN Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangan Urawa Red Diamonds bukanlah perkara yang mengejutkan peminat bola sepak tempatan. Siapa pun yang mengikuti perjalanan bola sepak dunia akan sedar betapa bagusnya skuad dari Jepun itu.
Ianya adalah pengalaman yang sangat baik bagi skuad Harimau Selatan dan ianya juga adalah penanda bahawa pasukan lain dalam Liga Malaysia perlu mendekatkan diri dengan tahap JDT untuk memastikan saingan lebih sengit di peringkat domestik.
Namun begitu ada dua perkara yang dilihat sangat ketara menjadi punca utama JDT tewas dengan keputusan yang besar yang memperlihatkan seolah-olah JDT tidak bersedia menghadapi perlawanan itu.
Our journey ends in the 2022 AFC Champions League Round of 16.
More photos at https://t.co/EoGJ3nwA4W#JDTvRED#AFCChampionsLeague#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/rOLCFFWOog
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 19, 2022
Kesilapan-kesilapan individu adalah sebab pertama yang membantu Urawa Reds dilihat mudah membenam Harimau Selatan. Dua gol awal yang berpunca dari kesilapan individu inilah yang membunuh rentak meyakinkan JDT pada lima minit pertama perlawanan.
Penjaga gol senior, Farizal Marlias perlu melihat kembali aksinya yang kebelakangan ini sering melakukan kesilapan ketika perlawanan penting. Dia dilihat gemuruh dan sering memberikan penalti yang tidak sepatutnya untuk gol pertama tuan rumah.
Berselang sepuluh minit, giliran Matt Davies pula melakukan kekasaran tidak perlu di luar kotak penalti sekaligus melihatkan salah satu tendangan percuma terbaik pernah dihasilkan pada kempen kali ini.
Ketinggalan 2-0 seawal 20 minit pertama pastinya sukar buat mana-mana pasukan untuk bangkit dan kesilapan Shahrul Saad yang juga pemain berpengalaman membunuh terus semangat melawan JDT pada babak pertama.
Bahasa tubuh ketiga-tiga pemain ini jelas menunjukkan mereka gemuruh dengan Farizal jelas terlihat pada wajah dan Shahrul pula menggelengkan kepala di dalam padang ketika dia gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya seolah-olah hilang keyakinan pada diri sendiri.
Selain kesilapan individu ini, faktor pemain yang sudah lama tidak diturunkan menjari sebab kedua bahagian tengah JDT dilihat ‘shut down’ hinggakan Bergson dan Forestieri tidak kelihatan pada babak pertama.
Matt Davies, Natxo Insa dan Jordi Amat sudah lama tidak bermain permainan kompetitif diberikan peluang untuk memulakan perlawanan dan jelas mereka bergelut untuk mencapai prestasi yang perlu ada untuk menghadapi intensiti permainan kelab Jepun.
Jordi Amat kelihatan biasa amat dan para penyokong menyamakan dia seperti Liridon Krasniqi yang lebih gemar berjalan daripada berlari. Insa pula bergelut dengan kecergasan begitu juga Matt yang teruk diasak barisan tengah Urawa terutama Yusuke Mitsuo.
Selepas kemasukan Afiq Fazail dan Ramadhan Saifullah pada babak kedua barulah JDT bermain seperti biasa dan akhirnya Bergson dan Forestieri kembali bernyawa dengan rembatan bahaya dari luar petak penalti.
Dua perkara ini perlu diperbaiki oleh pengendali baharu Hector Bidoglio yang mungkin juga perlu bertanggungjawab atas kekalahan ini kerana pemilihan pemain yang mungkin kurang tepat untuk perlawanan di peringkat yang tinggi itu.
Tetapi walau apa pun keputusan, JDT sudah membanggakan Malaysia dan banyak membantu meningkatkan ranking MA Malaysia hingga memperolehi slot tambahan ke kejohanan Asia bermula musim 2024 nanti.