JAGUH badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou merekodkan kejuaraan ke-13 di Kejohanan Para Badminton Antarabangsa Pattaya, Thailand pada Sabtu.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu mengambil masa 36 minit untuk mengalahkan seterunya dari Taiwan, Fang Jen-Yu 22-20, 21-15.

Menurutnya, kemenangan itu amat bermakna kerana dapat memenangi gelaran di bulan kemerdekaan.

“Negara cinta saya Malaysia. Selamat Hari Merdeka. Malaysia Boleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sejurus berakhirnya kempen, dia memberitahu ingin pulang berehat kerana sejak kebelakangan ini banyak pertandingan disertai sehingga badan tidak dapat menjalani pemulihan.

“Ada dua bulan untuk persediaan ke Kejohanan Dunia di Tokyo pada bulan November ini.

“Terima kasih banyak banyak kepada semua yang mendukung saya. Nasib baik ada support team dari ISN menghantar abang fisio dengan team kita supaya masih boleh mengurangkan kesakitan semasa pertandingan,” ujarnya yang berterima kasih kepada penaja yang sering menyokongnya di setiap pertandingan.