BAHANG temasya Sukan Sea Hanoi semakin dirasai apabila kontinjen negara mula berhimpun di CASA, Majlis Sukan Negara (MSN) sejak 24 April hingga 1 Mei ini sebagai persiapan akhir sebelum bermulanya acara sebenar.
Dalam memastikan atlet berada dalam kondisi terbaik dan cergas semasa bertanding, sebanyak tiga ujian saliva Covid-19 dilakukan oleh pihak urus setia.
Ujian pertama telah dibuat pada Ahad dan disusuli ujian kedua esok dan yang terakhir pada 1 Mei.
Mana-mana atlet dan pegawai yang didapati positif akan diasingkan dan akan diletakkan dibawah pengawasan Institut Sukan Negara (ISN).
“Atlet dan pegawai yang bergejala diminta untuk tidak turut serta didalam sebarang aktiviti dan memaklumkan kepada pengurus sukan masing-masing,” memetik info MSN.
Seramai 864 orang menyertai kontinjen negara di Hanoi dengan 589 terdiri daripada atlet manakala 275 lagi barisan pegawai.
Malaysia menyertai 37 daripada 40 jenis sukan dipertandingkan pada edisi ke-31 di Hanoi nanti dan tidak menyertai tiga jenis sukan iaitu bola baling, vovinam dan gusti.