JURULATIH Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak menyeru kepada para penyokong kelab itu untuk memenuhkan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada final Zon Asean Piala AFC 2022 menentang PSM Makassar, Rabu ini.

Hodak tidak mahu penyokong PSM mendominasi stadium seperti ketika perlawanan peringkat Kumpulan H Jun lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Dia juga mahu para pemain KL City menggunakan peluang beraksi di gelanggang sendiri kerana sedar prestasi PSM Makassar sekarang lebih baik berbanding ketika mereka bertemu sebelum ini.

Bojan Hodak

“Saya mengharapkan semua penyokong memenuhi stadium kerana kita tahu PSM sentiasa mempunyai pengikut di mana sahaja mereka beraksi. Ini sangat penting untuk menaikkan semangat para pemain.

“Peluang untuk memenangi perlawanan ini adalah 51-49. Satu peratus itu adalah kerana kami bermain di gelanggang sendiri dan kemenangan di Vietnam dan ketika menentang Negeri Sembilan tempoh hari memberikan kami tonik tambahan untuk aksi final ini.

“PSM Makassar sedang berada dalam prestasi terbaik selepas menang tiga dari empat perlawanan liga mereka dan ianya berbeza dengan ketika mereka hadir ke sini kerana pada ketika itu mereka belum bermain banyak perlawanan kompetitif,” jelas Hodak.

Namun KL City juga berada pada tahap terbaik selepas kembali di landasan kemenangan dalam liga dan berjaya mencatat dua ‘clean sheet’ dan pastinya aksi Rabu ini akan menampilkan perlawanan yang menarik.

 

Sementara itu, KL City sudah mula melakukan penjualan tiket menerusi dalam talian dan tiket fizikal juga akan dijual menjelang hari perlawanan dan diharap para penyokong The City Boys dapat hadir dan berikan sokongan yang padu kepada KL City.

KL City layak ke final zon Asean Piala AFC selepas menundukkan wakil Vietnam, Viettel FC pada penentuan penalti untuk bertemu PSM Makassar yang menewaskan Kedah Darul Aman FC dengan keputusan 2-1.