DERBY Pantai Timur berlangsung rancak dengan Terengganu FC berjaya melakar kemenangan bergaya 2-1 dengan menumpaskan tuan rumah, Sri Pahang FC dalam aksi sengit di Stadium Darul Makmur.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun penjaga gol kedua-dua pasukan kebal menjaga gawang masing-masing.
Permulaan babak kedua bermula cemerlang buat anak buah Dollah Salleh apabila Manuel Federico Hidalgo Gasparini berjaya memecah kebuntuan dengan menjaringkan gol cantik pada minit ke -47 setelah menerima hantaran lintang Andres Steven Rodriguez Ossa sekaligus meletakkan Sri Pahang FC mendahului 1-0.
Enggan mengalah, Terengganu FC berjaya mengikat pasukan tuan rumah pada minit ke-77 setelah sepakan sudut penjuru ditanduk kemas Habib bagi menyamakan kedudukan 1-1.
Gol tersebut jelas menyuntik semangat Terengganu FC dengan larian deras oleh Faisal Halim namun benteng Sri Pahang FC mempamerkan disiplin terbaik di bahagian serangan.
Setelah buntu mencari gol, Sang Penyu meraih gol kemenangan menerusi arkitek tengah Petrus Shitembi sekaligus membuat anak buah Nafuzi Zain tersenyum lebar dengan tiga mata penuh.
Kedudukan tersebut menyaksikan Sri Pahang FC kekal di tangga kelima dan Terengganu FC kekal di tangga keempat.
Kekalahan ini juga menyaksikan skuad Tok Gajah gagal pertahankan rekod tanpa tewas dalam lima perlawanan terakhir sebelum ini.