JURULATIH Interim Selangor FC, Nidzam Jamil menjelaskan perasaan barisan kejurulatihan dan pemain bagaikan pulang ke rumah sendiri namun tidak digemari apabila kurang mendapat sokongan daripada penyokong sendiri.
Ini selepas penyokong Selangor terutama Ultras Selangor menyanyi lagu bernada cemuhan dan makian kepada para pemain dan pengurusan kelab sejak dari minit pertama perlawanan.
Menurut Nidzam , dia memahami apa yang dilakukan oleh segelintir para penyokong itu tetapi masih berharapkan sedikit simpati dan empati daripada mereka untuk memberi ‘perasaan seperti di rumah’ kepada semua yang terlibat.
“Perasaannya boleh diumpamakan seperti balik rumah orang tak suka. Kami perlukan sokongan seperti di rumah. Saya faham sebab mengapa penyokong lakukan perkara seperti itu dan kami perlu melalui dan menghadapi situasi seperti ini.
“Kita kalah 1-0 dan keputusan ini bukanlah yang kami mahukan serta kami tidak mahu berada dalam situasi ini. Para pemain dilihat tidak cukup karektor untuk menang. Kami perlu betulkan keadaan di hadapan gol.
We're in front of you. https://t.co/2ubtHkdKfQ pic.twitter.com/R8XqfI8Q0A
— ultra Selangor (@ultraSel_) August 21, 2022
“Ada pemain yang saya rasakan mampu berikan lebih tetapi dilihat gagal untuk melakukannya dan saya akan mengkaji semula perkara ini. Kekalahan ini tidak membantu pasukan dalam keadaan ini.
Nidzam juga menyatakan banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh barisan kejurulatihannya dalam tempoh cuti dua minggu sebelum behadapan dengan Johor Darul Ta’zim pada 3 September 2022.
“Jika tidak ada cuti sekalipun, banyak benda yang perlu diperbaiki kerana pasukan ini mempunyai potensi untuk maju dan kami perlukan sedikit simpati dan empati dari penyokong,” katanya selepas perlawanan.
Selangor kini telah mengalami empat kekalahan berturut-turut dan Ultras Selangor dilihat berhimpun secara aman di perkarangan stadium sejurus tamat perlawanan menentang PJ City FC itu.