REAL Madrid tidak gentar bertemu Manchester City di separuh akhir Liga Juara-Juara pada lewat pagi Rabu. Atas kertas, The Citizens adalah lawan yang liat apatah lagi bermain di Stadium Etihad.
Jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti tidak terlalu cemas kerana pasukannya sudah biasa bertemu lawan yang sukar sebelum ini. Madrid berjaya mengatasi Inter Milan, PSG juga disingkirkan pada pusingan 16 dan Chelsea pun ditumbangkan pada suku akhir.
“Kami telah berjuang dan segalanya berjalan baik. Tidak diragukan lagi bahawa kami akan berjuang keras lagi esok,” kata Ancelotti dalam laman rasmi kelab.
Liga Juara-Juara musim ini tidak lagi menggunakan sistem gol tempat lawan dan menjadikan permainan lebih terbuka.
“Anda harus menguruskan permainan dengan betul. Perubahan peraturan gol membuatkan segalanya lebih terbuka dan dalam jenis permainan ini ada campuran keseronokan kerana kami sangat dekat mencapai final kejohanan terkemuka di dunia,” ujarnya lagi.
Manchester City pula dalam misi mengejar impian menjuarai Liga Juara-Juara untuk kali pertama. Sudah lebih 10 tahun Citizens gagal untuk merealisasikannya.
Pencapaian terbaik kelab Inggeris ketika mencapai final pada musim lalu namun Raheem Sterling dan rakan-rakan gagal mengangkat piala apabila dikalahkan oleh Chelsea.
Sementara Los Blancos gah muncul kelab handalan menakluki Liga Juara-Juara dengan 13 gelaran. Ancelotti sendiri sudah tiga kali menjuarai kejohanan ini dua bersama AC Milan dan satu di Real Madrid.