KUALA Lumpur City FC melantik  Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Patron yang juga membawa jawatan sebagai presiden kelab yang akan bertindak sebagai penjaga dan penasihat isu berkaitan bola sepak.

Lantikan Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan ini sejajar dengan pembangunan pesat KL City dan dengan pengalaman yang ada padanya dilihat mampu untuk menjana KL City ke tahap yang lebih tinggi.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh kelab, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad berkata lantikan ini adalah bukti bola sepak bertindak sebagai ejen penyatuan.

“Sebagai Presiden KLFA, saya dengan bangga mengumumkan bahawa Datuk Seri Shahidan telah menerima pelawaan untuk menjadi Presiden KL City FC sepanjang dia menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

“Ini melambangkan peranan sukan amnya dan bola sepak khususnya sebagai kuasa penyatuan dimana dua individu dengan perbezaan politik dapat bekerjasama demi kebaikan bola sepak Kuala Lumpur.

“Saya percaya bahawa kerjasama saya dan Datuk Seri Shahidan dapat membawa kelab ini mencapai kejayaan yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan media tersebut.

Stanley Bernard

Turut senada dalam hal ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard yang percaya dengan mengumpulkan semua pemegang amanah dalam keadaan yang harmoni adalah kunci kepada pembinaan asas kelab bola sepak yang kukuh.

“Bayangkan sebuah kelab bola sepak yang mempunyai sokongan daripada semua pemegang amanah yang sanggup mengenepikan perbezaan untuk membina pasukan yang kuat dan kompetitif di dalam dan luar padang.

“Menerusi peranan dan tanggungjawab yang jelas oleh semua pemenang amanah yang terlibat, kami menyasarkan untuk mencipta sebuah kelab yang professional dengan acuan yang sempurna.

“Kami percaya Datuk Seri Shahidan boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan kelab ini dan menjadi satu kebanggaan buat warga Kuala Lumpur,” kata Stanley.

Pengumuman ini tepat pada masanya untuk memberikan semangat tambahan buat KL City FC yang bakal berentap di final zon Asean Piala AFC menentang PSM Makassar esok.