PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel dikenakan hukuman oleh Persatuan Bolasepak England FA ekoran kenyataan yang dilemparkan mengatakan bahawa pengadil Anthony Taylor tidak layak mengadili perlawanan membabitkan The Blues pada masa akan datang.
Jurulatih berasal dari Jerman itu sebelum ini digantung satu perlawanan untuk berada di bangku simpanan dan didenda 35 ribu Euro atas konfrontasi yang dilakukan terhadap pengendali Tottenham Hotspurs, Antonio Conte di hujung perlawanan Chelsea menentang Tottenham Hotspurs yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Dalam kenyataan media, Persatuan Bolasepak England menyifatkan tindakan mempersoalkan kewibawaan dan integriti pengadil dengan cara demikian adalah salah.
“Komen yang dikeluarkan dari pengurus pasukan adalah melanggar undang-undang semasa sidang media dan bercanggah dengan apa yang dibenarkan persatuan.
“Persoalan mengenai integriti atau ketidakadilan pengadil bakal mengundang pelbagai spekulasi dan kerosakan dalam perlawanan akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, pembantu pengadil, Mike Dean mengakui kesalahannya kerana tidak memanggil Taylor untuk memeriksa monitor VAR untuk menyemak semula insiden melibatkan Marc Cucurella yang ditarik rambutnya oleh pertahanan The Lilywhites, Christian Romero.
Aksi menentang Leeds United, Thomas Tuchel dibenarkan berada di luar garisan padang kerana penggantungan jurulatih itu ditangguhkan buat sementara bagi menunggu kenyataan penuh bertulis atas keputusan tersebut.