PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan peletakan jawatan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar diterima selepas beliau mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.

Mohd Saifuddin, 61, yang sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM bagi menggantikan Stuart Ramalingam berkuat kuasa pada 1 September 2021 akan meneruskan baki khidmatnya sehingga 31 Ogos 2022.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2021-2025 pada hari ini telah menerima peletakan jawatan tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Mohd Saifuddin atas khidmat cemerlang beliau sepanjang bersama FAM, termasuk penganjuran perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023,” kata kenyataan FAM yang dimuatnaik di Facebook pada Selasa.

Sepanjang kerjaya, beliau pernah menjawat tugas selaku Penolong Setiausaha Agung FAM dari 2007-2008. Terdahulu beliau menjawat tugas di pelbagai unit dalam FAM dari 1995 hingga 2003, termasuk sebagai ketua jabatan pertandingan yang melancarkan Liga Super, penolong ketua jabatan pengadil dan penolong ketua jabatan teknikal.