BARISAN atlet-atlet lawn bowls kontijen Terengganu yang bakal membuat penampilan terakhir di temasya Sukan Malaysia (SUKMA XX MSN 2022) tekad untuk menghadiahkan pingat emas sebelum ‘bersara’ sepenuhnya di pentas penganjuran sukan terbesar dalam negara ini.

Muhammad Aiman Harith Abdul Aziz, Muhammad Farhan Haikal Jamaludin, Nor Zamziezah Ahmad dan Nur Nabilah Athirah Mohd Rafee merupakan barisan atlet senior kem lawn bowls Terengganu yang juga merupakan taruhan utama sasaran pingat emas buat kontijen negeri ini.

Bagi Muhammad Aiman Harith Abdul Aziz yang hanya berkesempatan membuat penampilan pertama di SUKMA Perak 2018 ketika berusia 19 tahun tetap bersyukur masih diberi ruang dan peluang setelah Majlis Sukan Negara(MSN) selaku penganjur bersetuju untuk menganjakkan had umur penyertaan bagi temasya kali ini.

Dia yang hampir putus asa untuk meninggalkan pasukan setelah berkali-kali tarikh penganjuran SUKMA edisi ke-20 ditangguhkan meletakkan dirinya di dalam dilema sama ada untuk menyambung pengajian atau memberi fokus untuk mencari pekerjaan.

“Sememangnya saya amat kecewa dan buntu ketika itu kerana memikirkan peluang saya untuk mewakili Terengganu telah padam sepenuhnya berikutan faktor usia penyertaan. Begitu juga untuk membuat keputusan bagi menentukan hala tuju masa depan saya.

“Saya harap pengorbanan saya ini berbaloi. Sukan lawn bowls ini memang jiwa darah daging saya.. apatah lagi pasukan lawn bowls Terengganu ibarat satu keluarga besar buat saya. Kini tekad saya untuk menghadiahkan emas buat Terengganu,” ujar Muhammad Aiman Harith Abdul Aziz yang pertama kali beraksi di pentas SUKMA sekaligus menghadiahkan pingat emas di Perak pada 2018 yang lalu.

Manakala bagi Nor Zamziezah Ahmad yang juga akan membuat penampilan terakhir nanti meletakkan fokus sepenuhnya pada SUKMA tahun ini untuk memburu kilauan emas sebelum membuat keputusan hala tuju seterusnya.

Walaupun sedemikian, dia yang telah membuat penampilan pertama sewaktu berusia 16 tahun di SUKMA Sarawak 2016 juga memiliki sijil kejurulatihan tahap 1 amat berharap untuk dapat terus mencurahkan kudrat dan tenaga untuk membantu program pembangunan atlet-atlet pelapis lawn bowls di negeri Terengganu sebaik sahaja tamat penganjuran SUKMA bagi edisi kali ini.

“Saya amat teruja untuk beraksi pada SUKMA kali ini dan sememangnya ianya penampilan terakhir yang teramat penting buat saya. Perasaan berdebar itu tetap ada kerana fokus latihan terganggu sewaktu pandemik COVID-19 yang lalu.

Namun saya perlu mempertahankan pingat emas acara triples wanita yang telah saya menangi di SUKMA Perak lalu. Sasaran emas untuk Terengganu pada SUKMA kali ini merupakan sasaran peribadi yang amat penting buat hidup saya sebelum saya beralih arah ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sememangnya satu cabaran yang besar buat saya sepanjang saya mewakili Terengganu ke pentas SUKMA. Saya dapat lihat kini Selangor dan Johor merupakan di antara pencabar saya nanti,” ujar Nor Zamziezah Ahmad yang kini berusia 22 tahun di mana pertama kali membuat penampilan pertama di pentas SUKMA pada SUKMA Sarawak 2016.

Pada penganjuran edisi kali ini, kem lawnbowls Terengganu meletakkan sasaran sebanyak tiga pingat emas seperti mana yang pernah diraih sewaktu penganjuran terakhir pada SUKMA Perak 2018 yang lalu.

Menurut ketua jurulatih Zulkepli Abd Wahab, walaupun Terengganu merupakan kuasa besar sukan lawn bowls namun disebabkan pandemik COVID-19 dua tahun lalu yang merencatkan program-program latihan meletakkan situasi terkini adalah peluang sama rata buat setiap negeri yang bertanding.

Jelasnya lagi sasaran itu dilihat realistik memandangkan masih terdapat atlet-atlet senior berpengalaman besar di pentas SUKMA terdahulu yang masih layak untuk bertanding menjadi taruhan pada temasya edisi ke-20 nanti.

“Kekuatan pasukan untuk penganjuran SUKMA kali ini adalah kita akan mempertaruhkan sebahagian besar pemain-pemain yang pernah beraksi di SUKMA 2018 di Perak. Begitu juga program latihan berterusan sewaktu diberikan kelonggaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meletakkan pasukan ini berada di tahap terbaik sebelum situasi sebenar bermula nanti.

“Pada tempoh yang singkat sejak dibenarkan berlatih sepenuhnya pasukan ini berjaya mengutip kejayaan di beberapa kejohanan berprofil tinggi sekaligus memberi pendedahan yang bagus buat pasukan. Sebenarnya persediaan pasukan untuk ke SUKMA kali ini merupakan cabaran yang besar buat saya sepanjang saya berkhidmat menjadi jurulatih di Terengganu ini,” ujar Zulkepli Abd Wahab selaku ketua jurulatih yang ditemui Flash Sukan di Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.

Untuk rekod pada penganjuran kali terakhir di SUKMA Perak 2018, Terengganu berjaya meraih tiga pingat emas sekaligus membantu kontijen negeri ini untuk kembali bergelar juara keseluruhan penganjuran ketika itu.

Pada temasya penganjuran SUKMA XX MSN 2022 akan membuka tirai pada 16 September nanti, sukan lawn bowls mempertaruhkan perebutan podium melalui sembilan acara yang melibatkan empat acara lelaki, empat acara wanita dan satu acara campuran.