DEBARAN perlawanan akhir ke-2 Piala Belia 2022 semakin terasa apabila Skuad Bawah-19 (B-19) Selangor akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Temerloh dalam aksi timbal balik bertemu Skuad Bawah-19 (B-19) Sri Pahang FC malam esok.
Kelebihan satu gol yang dibawa pasukan Selangor FC pada aksi akhir pertama lalu dilihat masih belum mencukupi untuk memberi keselesaan kepada anak buah Firdaus Aziz.
Namun, berbekalkan jentera tengah dan penyerang berkualiti dimiliki Selangor FC seperti Harry Danish Haizon, mereka mampu mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.
Dengan kekerapan melakukan hantaran jauh, ianya juga dilihat merupakan kunci bagi Gergasi Merah untuk merobek gawang Sri Pahang FC.
Manakala, Sri Pahang FC pula pastinya ingin memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila hanya ketinggalan satu gol kepada Selangor FC.
Anak buah Bahazenan Osman sudah pasti ingin melupakan detik pahit tewas kepada Gergasi Merah dalam aksi pertama dan dijangka bakal melakukan serangan sebaik wisel separuh masa pertama dibunyikan.
Taktikal skuad Tok Gajah pada aksi akhir pertama dilihat tidak begitu berkesan di bahagian pertahanan kerana mereka terlalu menumpukan untuk mencari gol di tempat lawan pada aksi akhir pertama.
Akibatnya, Selangor FC menghukum kealpaan pasukan lawan dengan melakukan ‘counter attack’ dan menembusi kubu Sri Pahang FC.
Kombinasi penyerang Sri Pahang FC, Fitri Aziq Wahid dan Khafii Abdul Majid merupakan antara ‘key player‘ bagi tuan rumah kerana memiliki skill individu yang begitu tinggi dan mampu mengelirukan lawan.
Kedua-dua pasukan sudah tentu mengidam untuk menjulang Piala Belia 2022 setelah berhempas pulas mempamerkan persembahan terbaik untuk skuad masing-masing.
Kali terakhir Selangor FC muncul juara Piala Belia (format liga) adalah pada tahun 2015. Pasukan tersebut sekali lagi berjaya membuat penampilan terakhir di final pada tahun 2016 namun tewas kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil dengan agregat 1-3.
Kali terakhir Sri Pahang FC melangkah ke final adalah pada tahun 2004 namun mereka tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur pada aksi tersebut.