TUAH dan rezeki seorang pemandu Grab, Mohamad Firdaus Yusof apabila dinobatkan sebagai juara Liga Penalti Gorilla 2022 yang pertama kali dianjurkan.
Mohamad Firdaus,32, atau lebih dikenali Santo merupakan satu-satunya pasukan yang hanya mendaftar seorang pemain sahaja berbanding pasukan lain yang mendaftar lima pemain.
Sebelum layak ke peringkat akhir, lebih 50 sepakan penalti telah diambil oleh Santo dan dia juga telah menyelamatkan lebih 20 sepakan penalti dari pasukan lawan.
Santo yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur telah mula mengambil bahagian dalam sukan Liga Penalti sejak tahun 2017 dengan hampir setiap minggu dia menyertai Liga Penalti yang dianjurkan sekitar Lembah Klang.
“Saya memilih untuk sertai Liga Penalti kerana saya boleh bermain secara berseorangan, tak banyak rules macam bola sepak dan mudah disertai. Saya sangat gembira membawa pulang hadiah kemenangan yang lumayan,” jelas Santo.
Pengurus Pemasaran Guerilla PLT, Nik Nur Syazwani Natasya Nik Mohd Juzaili telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.
“Ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial kepada orang ramai dimana sukan Liga Penalti tidak memerlukan skil atau stamina yang tinggi dan boleh disertai oleh semua peringkat umur dan golongan. Kami bercadang untuk menganjurkan Liga Penalti Gorilla peringkat akar umbi pada masa akan datang,” ujar Nik Nur Syazwani Natasya.
Sebanyak 130 pasukan telah menyertai Liga Penalti Gorilla 2022 dan turut berlangsung adalah Liga Bola Jaring Gorilla melibatkan 16 pasukan yang telah berlangsung di Radia Arena, Bukit Jelutong, Shah Alam.
Pemenang-pemenang membawa pulang wang tunai bersama piala berserta barangan rasmi daripada Gorilla.
Acara Liga Penalti Gorilla 2022 ini juga diserikan lagi dengan kehadiran dua pemain muda daripada pasukan Selangor FC.