KETUA jurulatih skuad Piala Presiden Sri Pahang FC, Mohd Yazeed Hamzah mengakui mereka bakal turun sebagai pasukan bukan pilihan apabila berhadapan Johor Darul Ta’zim III pada aksi final kedua Piala Presiden 2022 pada Ahad.
Yazeed berkata demikian kerana baginya tiada seorang pemain daripada Sri Pahang pernah dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan berbanding lawan yang mempunyai ramai pemain negara.
Dia juga berpesan kepada para pemainnya agar bermain seperti biasa meskipun mempunyai kelebihan gol tempat lawan dan terus memberikan tekanan kepada pihak lawan.
Sidang media praperlawanan menjelang Final 2 Piala Presiden 2022, Sri Pahang FC lwn Johor Darul Ta'zim III telah berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, petang tadi.
▶️ Baca penuh & lagi gambar di https://t.co/VyozVTyZkY#FAM #HarimauMalaya #PialaPresiden2022 pic.twitter.com/wq9gO4LRxe
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 27, 2022
“Atas kertas sudah tentu kami pasukan ‘underdog’ kerana tidak mempunyai seorang pun bermain untuk kebangsaan berbanding JDT dan saya yakin mereka akan turunkan ramai pemain JDT II pada perlawanan esok.
“Kami akan bermain seperti biasa dan berikan tekanan kepada lawan dan tidak mahu berada dalam keadaan selesa selama 90 minit kerana 2-2 di tempat lawan tidak menjamin apa-apa pun. Kami akan main habis-habisan untuk perlawanan terakhir ini, katanya pada sidang media pra perlawanan.
Yazeed juga mengucapkan terima kasih kepada Tengku Muda Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Shah kerana memberi mementingkan pembangunan akar umbi hingga dua pasukan muda Sri Pahang mampu melangkah ke perlawanan akhir Piala Belia dan Piala Presiden 2022.
“Memang tahun ini adalah tahun bersejarah buat bola sepak Pahang kerana tidak pernah lagi kedua-dua pasukan Piala Belia dan Piala Presiden melangkah ke perlawanan akhir kedua-dua kejohanan.
“Baginda mengambil tahu tentang pembangunan akar umbi bola sepak negeri dan kami sebagai jurulatih telah diberi tanggungjawab untuk menggilap pemain muda untuk menjadi lebih matang sehingga ke tahap yang tinggi,” tambahnya.
Sri Pahang FC mahu melakar sejarah muncul juara di hadapan penyokong sendiri dengan JDT III bakal menjadi halangan terakhir buat mereka menjulang piala.