SEBAGAI tanda gembira kejayaan layak ke final Piala FA dan juga memikirkan aspek keselamatan para penyokong, Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan tarikh 11 September 2022, Ahad sebagai cuti peristiwa bagi seluruh negeri Terengganu.
Perkara ini disahkan dan telah diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi kenyataan media di laman sosial rasmi miliknya pada Ahad.
Menerusi kenyataan itu, Samsuri juga berpesan agar penyokong Terengganu FC menjaga tingkah laku mereka ketika di stadium dan menggesa agar tidak terburu-buru untuk pulang ke Terengganu demi menjaga keselamatan ketika di dalam perjalanan.
Kenyataan Media
Menteri Besar Terengganu Darul ImanCuti Sempena Perlawanan Akhir Piala FA 2022.
Alhamdulillah, seperti yang kita sedia maklum, Terengganu FC Berjaya ke perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil pada 10 September 2022, Sabtu nanti dan bertemu dengan pic.twitter.com/Jur5tJWgJI
— Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (@DrAhmadSamsuri) August 28, 2022
“Alhamdulillah, seperti yang kita sedia maklum, Terengganu FC berjaya ke perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil pada 10 September 2022, Sabtu nanti dan bertemu dengan Johor Darul Ta’zim.
“Kerajaan Negeri Terengganu berharap para penyokong Terengganu FC agar dapat mengutamakan keselamatan diri dan tidak terlibat dengan sebarang insiden yang tidak sepatutnya. Sentiasa menunjukkan akhlak dan adab yang baik sebagai rakyat Terengganu ketika menyaksikan perlawanan tersebut.
“Bagi memberikan keselesaan perjalanan pulang dan memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya juga, Kerajaan Negeri telah bersetuju mengisytiharkan 11 September 2022 iaitu hari Ahad sebagai cuti peristiwa bagi Negeri Terengganu.
“Susun dan atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa kerana ruang masa yang ada masih panjang.
“Kepada pasukan kesayangan semua, Terengganu FC, saya berharap para pemain dapat memberikan fokus yang maksima dan mempersembahkan aksi yang terbaik sekaligus merealisasikan harapan kita untuk membawa pulang Piala FA diiringi ribuan penyokong ke Terengganu. Insya-Allah. We Bleed Black and White,” tulis kenyataan itu.
Terengganu FC akan berhadapan cabaran Johor Darul Ta’zim dalam aksi final Piala FA 2022 selepas kali terakhir layak ke final pertandingan ini pada tahun 2000 dan muncul juara.