KELAB Liga Perdana Singapura (SPL), Balestier Khalsa secara rasmi mengumumkan bekas Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo sebagai jurulatih interim mereka bagi menghadapi baki liga musim ini.

Pengendali asal Belanda itu akan mengambil alih tugas Akbar Nawas yang meletakkan jawatan selepas perlawanan menentang Tampines Rovers pada Ahad manakala de Roo akan memulakan tugas rasmi pada Isnin.

“Dia adalah jurulatih yang bersemangat dengan 30 tahun pengalaman dalam bola sepak profesional serta mempunyai rekod yang baik dalam menjayakan visi, filosofi dan amalan professional dalam pasukan senior dan remaja,” menurut kenyataan kelab.

 

Bekas pemain profesional dengan tugas terkini di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai pengarah teknikal yang dijawat dari 2017 hingga 2020, De Roo sebelum ini adalah pengarah teknikal di SC Cambuur sebelum berpindah ke Australia untuk memantau skuad B16 dan B17 pada 2012 dan membantu skuad B17 layak ke Piala Dunia FIFA B17 2015.

Dengan berbaki tujuh perlawanan musim ini, skuad Tigers kini berada di tangga ketujuh dari lapan pasukan dengan 20 mata dari 21 perlawanan. Balestier berjaya mencatat enam kemenangan dan tewas 13 kali lapan mata dibelakang pasukan tempat keenam, Hougang United.