SKUAD Floorball Remaja Pulau Pinang membuktikan diri mereka sebagai pasukan pilihan dalam kategori lelaki Kejohanan Floorball Remaja Kebangsaan 2022 apabila berjaya memenangi kedua-dua perlawanan pada hari pertama kejohanan.
Pulau Pinang berjaya menewaskan Selangor 6-1 sebelum dipaksa bekerja keras oleh pasukan tuan rumah, Johor sebelum menang 5-4 untuk mengakhiri hari pertama di kedudukan teratas liga.
Meskipun berhadapan cabaran dalam mempersiapkan pasukan selepas ketiadaan latihan selama hampir dua tahun akibat penularan pandemik Covid-19, Pulau Pinang tetap yakin barisan remaja mereka mampu untuk mempamerkan aksi yang cemerlang.
Jurulatihnya, Zephaniah Chong En Wei berkata mereka hanya mampu membuat persiapan dalam tempoh waktu yang singkat dan kehilangan beberapa pemain utama akibat pandemik dan semua pihak bekerjasama bagi memastikan sistem latihan dapat dimaksimumkan.
“Ianya sukar untuk beberapa pasukan untuk bertanding kerana kekurangan pemain akibat pandemik dan juga sukar buat penganjur untuk menganjurkan kejohanan ini tetapi segalanya berjalan lancar.
“Ramai pemain-pemain lama tidak beraksi namun dari sudut positif, kami dapat melihat banyak bakat-bakat baharu yang berpotensi dapat dilahirkan dari kejohanan ini.
“Pada kebiasaannya skuad Floorball Pulau Pinang menjalani latihan selama empat hingga lima bulan tetapi kini hanya sebulan sahaja tetapi semua pihak bersama-sama memastikan kami dapat memaksimumkan sistem latihan bagi memastikan tidak ada masa yang dibazirkan,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Zephaniah juga memberikan tips berguna kepada pemain-pemain remaja untuk sentiasa menyerap apa yang diajar dan diberikan oleh jurulatih menerusi kejohanan ini dan tunjukkan kelebihan yang ada supaya lebih dikenali ramai di peringkat kebangsaan.
Pulau Pinang akan berhadapan Kuala Lumpur hari ini sebelum melengkapkan aksi kumpulan round robin menentang Perak pada Isnin dengan empat pasukan teratas akan layak ke peringkat separuh akhir.
Kejohanan Floorball Remaja Kebangsaan 2022 ini berlangsung di Dewan Serbaguna Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Malaysia Cawangan Pagoh, Johor dari 27 hingga 30 Ogos 2022.