YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang melakar sejarah menjadi pemain badminton pertama negara berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.
Turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Aaron Chian dan Soh Wooi Yik atas kejayaan itu adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah menzahirkan rasa sukacita serta bangga atas kejayaan Aaron dan Wooi Yik sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Pencapaian cemerlang Aaron Chia dan Soh Wooi Yik telah sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
“Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian ini akan membakar semangat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk terus berlatih dan bekerja keras untuk kejohanan-kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.”
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menamatkan penantian gelaran sulung negara di pentas Kejohanan Badminton Dunia selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra 21-19,21-14 pada aksi final edisi ke-27 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun hari ini.