PASUKAN Young Turtle mengetepikan cabaran 20 pencabar lain apabila muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak pada Ahad.

Diperkuatkan pemain berpengalaman, Shohibul Fadillah Abd. Salam, Noraizat Muhd. Nordin dan Irsyad Faiz Aziz, Young Turtle menewaskan regu Hanelang pada perlawanan akhir.

Mereka mengalahkan Aidil Haikal Ghani, Alif Musyrid Rosli dan Hasmadi Wahab 21-16, 21-18 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala serta trofi iringan.

Manakala selaku naib juara, regu Hanelang itu terpaksa berpuas hati memenangi hadiah RM3,000 dan trofi iringan.

Ketua pasukan, Shohibul Fadillah, berkata, mereka menerima tentangan sengit sejak di peringkat kumpulan namun faktor pengalaman membantu Young Turtle menjulang kejuaraan kali ini.

“Memang kami turun dengan sasaran muncul juara. Namun begitu saingan cukup hebat diberikan terutama daripada skuad Sukan Malaysia (Sukma) negeri,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Sementara itu, 63 pasukan lagi turut berentap merebut Piala EXCO Belia, Sukan dan NGO Terengganu yang dimenangi pasukan RK Timur setelah mengatasi KHK Internity 21-13, 21-9.

Juara dan naib juara kategori tertutup itu masing-masing memenangi RM1,000 dan RM700 berserta trofi iringan.