Oleh: MOHD FARIQ

BEBERAPA hari selepas FAM mengumumkan Setiausaha Agung yang baharu, Noor Azman Rahman mengambil alih daripada Mohd Saifuddin Abu Bakar bermula Khamis ini, badan induk itu khabarnya bakal kehilangan seorang orang lama.

Khabarnya Penolong Setiausaha Agung merangkap Pengarah Jabatan Pertandingan FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurrahman, sudah menyatakan niatnya untuk meletak jawatan atas sebab peribadi.

Abang Zulkarnain, 56, yang memulakan kerjayanya sebagai setiausaha eksekutif Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) pada 1988, menyertai FAM pada 2013 dan pernah memegang pelbagai jawatan, termasuk ketua unit pertandingan dan ketua unit pasukan kebangsaan.

Terdahulu, Mohd Saifuddin meletakkan jawatan selaku Setiausaha Agung FAM minggu lalu atas alasan peribadi. Peletakan jawatan beliau diterima oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM yang bersidang secara khas Selasa lalu.

Sabtu lalu FAM mengumumkan Noor Azman, Koordinator di Pejabat Presiden, dilantik menggantikan Mohd Saifuddin dan memulakan tugas pada Khamis ini.