KETIBAAN penyerang muda Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak ke kem latihan skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan pastinya menyemarakkan lagi semangat pasukan menjelang Sukan SEA Mei ini.
Hadi Fayyadh, 22, yang kini berkelana di Jepun sejak tiga tahun lalu dipanggil menyertai skuad Brad Maloney selepas hampir dua tahun setengah tidak pulang ke tanah air.
Penyerang yang bermain bersama kelab J3 Azul Claro Numazu dan dipinjamkan ke Fagiano Okayama itu baharu sahaja pulih daripada kecederaan dan kini sedia kembali menyarung jersi negara.
“Alhamdullilah baharu semalam (Isnin) balik. Saya bersemangat menyertai pasukan dan berharap semuanya berjalan lancar.
“Semestinya saya pulang ini adalah untuk membantu pasukan negara dan ini adalah impian semua orang bermain untuk negara,” ujarnya ketika ditemui media pada sesi latihan pertamanya pada Selasa.
Menurut pemain tinggi lampai ini, pengalaman di Jepun sudah pasti sedikit sebanyak akan membantunya buat pasukan negara.
“Pengalaman di Jepun sudah tentu dapat membantu kerana kita tahu sana adalah liga bola sepak di Asia.
“Apa yang penting saya kena fokus dan memperbaiki segala kelemahan. Saya datang dari jauh dan harap doa dan sokongan supaya dapat lakukan yang terbaik dan berjaya.
“Namun saya tahu rakan-rakan yang lain ada potensi dan kelebihan masing-masing. Kalau satu hati dan percaya satu sama lain tidak ada apa yang mustahil untuk capai,” jelasnya yang menyerahkan pemilihan akhir kepada jurulatih Maloney.
Selain Hadi Fayyadh, dua lagi pemain yang tiba menyertai kem latihan hari kelapan ini termasuk pemain pemain berdarah campuran Malaysia-Finland, Nooa Laine dan pemain PJ City FC, Zainal Abidin Jamil.
Manakala seorang lagi pemain negara yang beraksi bersama kelab luar negara, Luqman Hakim (KV Kortrijk) dijangka akan tiba menyertai kem latihan pada 30 April ini.
Kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan ini sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 6 hingga 22 Mei 2022 sebelum terbang ke Uzbekistan bagi mengharungi kempen Piala Asia B-23 2022 bermula 1 hingga 19 Jun 2022.