PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) , Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria mengakui sukar untuk mengungkap kata-kata selepas pasangan beregu lelaki Aaron Chia- Soh Wooi Yik merangkul gelaran juara dunia pada Kejohanan Badminton Dunia 2022.
Bagaimanapun jelas Norza, tumpuan utama dalam masa terdekat adalah memenuhi tiga ‘wishlist’ utama iaitu Kejohanan Dunia, Piala Thomas dan pingat emas pertama Olimpik.
Namun apa yang lebih manis buat Norza adalah kejayaan beregu negara ini dianggap sebagai hadiah hari lahir yang ke-56 paling bermakna hari ini.
“KPI saya adalah untuk memenuhkan tiga kotak kosong. Satu kotak adalah kejuaraan dunia yang kita sudah dapat. Kotak kedua adalah mendapat Piala Thomas, masih kosong. Ketiga, adalah pingat emas Olimpik. Kita akan bekerja keras untuk menjadi tembok besar dalam badminton.
“Saya menangis, sujud kesyukuran. Tiada perkataan boleh menggambarkan kebahagiaan saya. Saya rasakan kebahagiaan itu turut dirasai sesiapa yang menonton televisyen.
“Apabila anda mengatakan diri anda rakyat Malaysia, harinya telah tiba dan kejuaraan dunia telah kembali ke Malaysia.Saya rasa ia adalah sangat monumental. Kita harus raikan kejayaan ini dan kita harus sokong pemain kita untuk membuktikan perkembangan dari muda sehingga senior,” ujar Norza yang turut menyambut hari lahirnya dengan majlis ringkas memotong kek disamping isteri Puan Sri Zulaiha Zainal Abidin di KLIA pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, beliau turut berhasrat memberi imbuhan kepada jaguh negara tersebut namun jumlah keseluruhan masih dalam perbincangan.
“Ia masih di peringkat awal. Kita akan berbincang dengan pihak kerajaan dan pihak penaja untuk memastikan mereka akan diberi amaun yang wajar.
“Permulaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memberi RM150,000.00 setiap seorang. Kita masih berbincang dengan yang lain. Kemudian RM50,000.00 dari YONEX menjadikan jumlah RM200,000.00 setiap seorang.
“Kita juga ada penghargaan daripada SHAKAM, RM20,000.00 seorang tetapi saya akan mencadangkan kepada Datuk Ahmad Faizal Azumu (Menteri Belia dan Sukan) untuk memberi kadar yang lebih berpatutan,” jelasnya.
Dalam pada itu, kejayaan gandingan Aaron-Wooi Yik disifatkan bakal memberi inspirasi kepada pemain negara yang lain untuk membuktikan tiada apa yang mustahil jika mempunyai keazaman yang tinggi.
“Kita adalah kuasa besar dalam dunia badminton. Dengan kemenangan Aaron-Soh Wooi Yik, ia akan memberi inspirasi kepada para pemain lain,” tambahnya.
Selepas ini, gandingan nombor satu negara tersebut mungkin menyambung perjuangan di Osaka untuk menyertai Terbuka Jepun namun ia masih dalam perbincangan dengan beberapa jurulatih untuk memuktamadkannya.
Dijangka juga kepulangan mereka bakal disambut sebagai wira negara pada 1 September ini.