PENGERUSI Selangor FC, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima surat peletakan jawatan Ahli Lembaga Pengarah, Izhar Moslim.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Selangor FC pada Selasa, beliau memberi perkenan surat peletakan bertarikh 7 Julai 2022.

“Beliau (Izhar) tidak lagi terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan Selangor FC.

“Beta ingin mengucapkan terima kasih buat Izhar Moslim atas sumbangan dan pengorbanan sepanjang berada di kelab ini,” katanya.

Untuk rekod, Izhar telah menyandang jawatan Naib Presiden FAS dari tahun 2018 hingga 2019 sebelum dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah semasa Selangor FC diswastakan dan ditubuhkan pada 2020.

Sementara itu, beliau kesal dengan beberapa insiden yang sedang berlaku dalam kem Merah Kuning ketika ini.

Menurutnya, ramai yang membuat tanggapan serta dakwaan tidak tepat berkenaan penglibatan beliau dalam pengurusan Selangor FC.

“Setiap keputusan teknikal dan pengurusan kelab yang penting adalah berteraskan hala tuju yang telah ditetapkan. Keputusan ini dibuat berdasarkan pemerhatian dan juga perbincangan terperinci bersama Pengarah Sukan, Ahli Lembaga Pengarah dan jawatan yang berkenaan,” katanya.

Beliau juga mengakui Selangor belum mencapai kejayaan atas padang, namun tetap tidak akan berputus asa dan komited untuk membawa kelab ke peringkat yang tertinggi.

Pada masa sama, beliau juga menyeru penyokong Selangor untuk terus bersatu, dan tidak mudah berpaling daripada kebersamaan kerana pengaruh unsur-unsur luar yang tidak tepat dan ingin memecahkanbelahkan pasukan.

“Beta ingin tegaskan dan memberi jaminan bahawa tidak pernah ada parasit dalam pengurusan.

“Ini adalah saat kita memerlukan sokongan yang positif, membina dan tidak berbelah bahagi daripada semua agar kita dapat bersama membantu pasukan kesayangan ini bangkit semula,” katanya lagi.