KETUA Jurulatih Kebangsaan Kim Pan Gon nyata gembira dengan undian peringkat kumpulan Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric dan bersedia untuk menghadapinya.
Pan Gon juga menyatakan mereka tidak peduli akan kekuatan atau kelemahan pasukan lain kerana hanya fokus untuk memberikan aksi terbaik pada kejohanan itu.
Harimau Malaya juga akan menggunakan Kejohanan King’s Cup di Chiang Mai nanti sebagai medan persediaan dengan beberapa pemain muda bakal diuji.
“Ianya adalah satu undian yang bagus untuk Harimau Malaya walaupun semua pasukan dalam kumpulan itu adalah kuat tetapi kami sudah sedia untuk bersaing di kejohanan ini.
“Vietnam boleh dianggap pasukan yang terkuat tetapi Singapura, Myanmar dan Laos juga adalah pasukan yang bagus namun kami tidak peduli dengan kekuatan atau kelemahan pasukan lain kerana kami akan memberikan aksi terbaik untuk mendapatkan keputusan yang bagus.
“Kami akan gunakan Kejohanan King’s Cup di Thailand sebagai medan persediaan. Ini adalah peluang terbaik untuk berjumpa pasukan-pasukan ini dan kami akan menguji beberapa muka baharu dalam latihan dan akan lakukan yang terbaik sebagai persiapan ke Piala AFF nanti,” ujar Pan Gon dalam satu temubual oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Vietnam, Singapura, Myanmar dan Laos dalam kejohanan dwitahunan yang akan berlangsung dari 23 Disember 2022 hingga 15 Januari 2023.