PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel beranggapan kekalahan pasukannya kepada Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Rabu adalah disebabkan kesilapan benteng pertahanan dan kelemahan individu pemain.

Thomas Tuchel mengkritik pemainnya sendiri ekoran kekalahan kedua berturut-turut selepas dimalukan Leeds United 0-3 dalam perlawanan sebelum ini.

Chelsea yang berkunjung sebagai pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Raheem Sterling namun  Southampton melakukan ‘comeback‘ dengan jaringan Romeo Lavia dan Adam Armstrong sekaligus meletakkan Southampton berjaya menggembirakan penyokong tuan rumah yang hadir.

“Kita sangat mudah dilepasi,  dikalahkan, dikelirukan. Ia berlaku ketika berdepan Leeds United. Kita harus cari punca dan mencari solusi terbaik.

“Kita mudah hilang konsentrasi, pelan dan konsistensi. Macam yang saya cakap sebentar tadi, kita sangat mudah ditewaskan.

“Kita mungkin akan tewas dan saya sejujurnya akan menerima keputusan tersebut dengan rendah diri. Dalam situasi ini, kita telah mendahului dan memberi gol mudah kepada lawan adalah satu kesalahan. Saya tidak boleh terima kerana turut tiada jawapan pada separuh masa kedua.

“Pertahanan yang sangat-sangat lembut. Sepatutnya pemain tidak boleh memberikan peluang lawan melakukan rembatan. Kedua-dua gol pasukan lawan adalah gol murah dan lembut. Ianya tidak boleh berlaku sekiranya pasukan anda berhasrat menjuarai Liga Perdana Inggeris,” jelas Tuchel.

Chelsea turut dihimpit masalah kecederaan beberapa pemain apabila Recce James dan Ngolo Kante terpaksa direhatkan atas masalah kesihatan.

Ruben Loftus Cheek pula terpaksa digantikan dengan Mateo Kovacic selepas mengalami kecederaan pada babak kedua, manakala Conor Gallagher masih berdepan penggantungan perlawanan.