PEMENANG pingat emas Olimpik Singapura, Joseph Schooling telah mengeluarkan kenyataan maaf selepas mengaku mengambil dadah jenis kanabis ketika sedang diberi pelepasan dari Khidmat Negara Mei lalu.

Perenang berusia 27 tahun diuji negatif ketika ujian dadah terkawal menerusi air kencing tetapi akhirnya mengaku beliau mengambil dadah di luar negara kerana sedang dalam keadaan yang ‘lemah’ pada ketika itu.

Dia membuat permohonan maaf menerusi Instagram story peribadinya selepas satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dan SportSG yang mengesahkan penglibatannya dengan dadah.

Permohonan maaf Schooling di IG story peribadinya.

Dia meminta maaf atas apa yang dilakukan terutama kepada keluarga dan peminat cilik yang mengidolakannya. Dia juga mengakui telah melakukan pertimbangan yang salah ketika mengharungi tempoh yang sukar dalam kehidupannya dan berikrar akan menebus kesilapan yang telah dilakukan.

Mindef pula telah mengeluarkan kenyataan mengatakan disebabkan Schooling telah melanggar keistimewaan yang diberikan, dia tidak lagi berhak untuk meninggalkan atau diberi pelepasan untuk berlatih atau bertanding ketika di dalam Khidmat Negara.

Kementerian itu juga menambah bahawa surat amaran rasmi telah diberikan kepada Schooling menyatakan kepadanya tentang tindakan serius yang akan dikenakan kepada semua ahli Tentera Singapura yang terlibat dengan dadah.

Berdasarkan protokol sedia ada, Schooling akan ditempatkan dalam rejim ujian air kencing yang diselia selama enam bulan dengan semua ahli Tentera Singapura yang didapati positif ketika dalam rejim akan didenda dan dihukum.

Pengakuan ini menggemparkan seluruh penduduk Republik Singapura yang memandang tinggi kepada Schooling kerana kejayaannya muncul sebagai pemenang pingat emas pertama buat negara itu di Temasya Sukan Olimpik.