MESKIPUN ianya telah menjadi sejarah yang terpahat dalam kalendar sukan badminton negara, namun tidak lengkap rasanya jika kita tidak mengupas detik permulaan  Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadapi Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo, Jepun.

Pusingan pertama Aaron Chia-Soh Wooi Yik agak bertuah kerana mendapat bye dan secara automatik mara ke pusingan kedua tanpa perlu menewaskan lawan.

Di pusingan kedua pasangan beregu negara dipertemukan dengan beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han yang menghuni ranking ke-23 dunia.

Mereka menepati ramalan apabila mudah menundukkan beregu Chinese Taipei itu dengan kemenangan straight set 22-20, 21- 18.

Cabaran pasangan tersebut bermula pada pusingan ketiga apabila bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang mempamerkan semangat juang yang tinggi namun terpaksa akur pengalaman Aaron-Wooi Yik jelas menjadi pemisah, kemenangan 21-17 21-19.

Pusingan suku akhir menyaksikan bermula cabaran getir Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila berdepan gandingan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae dengan kedua-dua mempamerkan permainan seimbang namun tuah masih berpihak kepada pasangan negara, turut menang straight set 21-18, 21-16.

Tatkala ramai menjangkakan badi kekalahan pasangan negara akan berterusan di peringkat separuh akhir, gandingan nombor lima dunia itu seakan diberi nafas baru apabila bijak membaca taktikal pasangan India yang diterapkan Matthias Boe kepada anak didiknya, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.

Dengan corak permainan pantas dan lebih agresif yang ditampilkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, ia nyata memerangkap pasangan India tersebut kerana tidak berupaya menandingi kepantasan gandingan negara sekaligus terpaksa akur tewas 22-20, 18-21, 16-21.

Kejayaan di peringkat separuh akhir itu telah menutup pelbagai spekulasi yang timbul dari persembahan mereka yang agak longlai dan ianya dikatakan berpunca dari kelemahan mental pasangan tersebut ketika berada pada perlawanan genting.

Skrip sama dilihat bakal berulang ketika beraksi di pentas akhir apabila bertemu gandingan juara dunia tiga kali dari Indonesia serta memiliki rekod pertemuan head to head yang nyata lebih memihak kepada pasangan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Meskipun gandingan negara pada suatu ketika ketinggalan dengan perbezaan mata yang agak jauh di set pertama, namun jurulatih beregu kebangsaan, Rexy Mainaky berjaya mengesan kelemahan pasangan Ahsan-Hendra yang kerap melakukan kesilapan ketika mereka bermain secara rally.

Kesempatan itu berjaya dihidu dan digunakan sebaik mungkin Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang bermain secara rally sepanjang set pertama dan kedua.

Ia terbukti berhasil apabila pasangan Indonesia itu tidak dapat bermain secara pantas dan acap kali melakukan kesilapan mudah dalam permainan rally yang lebih panjang.

Dengan berbekalkan taktikal baru bermain secara rally, pasangan negara bangkit menyamakan kedudukan dan menang tipis 21-19 di set pertama.

Di set kedua, aura kejuaraan semakin dirasai gandingan negara apabila mengekalkan fokus dan meneruskan permainan rally sehingga jelas faktor usia dilihat menjadi penghalang kepada kebangkitan Hendra-Ahsan sekaligus memberi laluan untuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta sejarah merangkul emas pertama sepanjang 45 tahun penglibatan Malaysia di Kejohanan Badminton Dunia (BWF).

Kejayaan itu bukan sahaja dinikmati pasangan negara, bahkan ianya turut dirasai seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan perlawanan akhir tersebut pada kelas yang tersendiri.

Doa, titisan air mata, keringat dan penat lelah yang ditampilkan pasangan tersebut nyata berbaloi setelah berjaya  menamatkan kemarau 45 tahun tanpa sebarang kilauan emas.

Ianya juga membuktikan bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan dengan kemahuan yang tinggi untuk bergelar juara pasti menghasilkan sesuatu keputusan yang membanggakan.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengesahkan kepulangan wira tersebut akan disambut seluruh rakyat Malaysia esok, yang sudah lama mendambakan pingat emas pertama di Kejohanan Dunia.

Lebih manis lagi, ianya berjaya direalisasikan pasangan tersebut dengan hadiah sempena kemerdekaan negara yang ke-65.