SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Noor Azman Rahman yakin dapat mengendalikan kerusi panas FAM itu berdasarkan pengalaman yang ada pada dirinya.
Noor Azman dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu menggantikan Saifudin Abu Bakar yang meletakkan jawatan kerana ingin menumpukan perhatian kepada tugasan di luar negara.
Dalam ucaptamanya ketika diperkenalkan kepada media pada Khamis dia mengucapkan terima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengamanahkan tanggungjawab itu kepadanya.
Siaran Media: FAM Lantik Noor Azman Hj Rahman Sebagai Setiausaha Agung Yang Baharu
▶️ Baca penuh di https://t.co/uDEYrk24ug#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/0qyVzmInXO
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 27, 2022
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada exco-exco FAM yang meluluskan perlantikannya dan akan menjalankan tanggungjawab ini sebaik mungkin.
Pada hari pertamanya di pejabat, dia juga memohon kerjasama daripada pihak media untuk membantunya dalam menjalankan tugas ini dan meminta masa buat sementara waktu sebelum menerima apa-apa soalan daripada media.
“Dengan pengalaman yang saya ada InshaAllah saya mampu lakukan tugas ini,” jelasnya ringkas dalam sidang media itu.
Noor Azman bukanlah asing di FAM yang sebelum ini menjawat jawatan Koordinator Presiden FAM selain terlibat dengan beberapa jawatankuasa tetap FAM seperti Ahli Jawatankuasa Media FAM dari 2010 hingga 2013, Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM dari 2014 hingga 2018 serta Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM bermula 2018 hingga 2019.