AKSI pemain negara di Terbuka Jepun berakhir selepas tiga pemain beregu, kandas di suku akhir hari ini.
Beregu campuran muda, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei yang beraksi cemerlang semalam, bagai berperang tanpa senjata ketika menentang pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 10-21, 13-21 dalam masa 26 minit.
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Manaiky berkata, tidak dinafikan gandingan China yang masih segar dengan kejuaraan Kejohanan Dunia minggu lalu, berada di dua tahap lebih tinggi berbanding Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei.
“Hari ini, Pang Ron-Ee Wei terlalu menghormati lawan. Sepatutnya mereka bermain seolah-olah nothing to lose,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Turut tersingkir di suku akhir, gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang tunduk kepada satu lagi pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 16-21, 15-21.
Beregu lelaki berpengalaman yang juga pemain professional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula kalah kepada gandingan Korea Selatan Choi Sol Gyu-Kim Won Ho 21-17, 17-21, 13-21.
Keputusan melibatkan pemain negara:
Beregu lelaki
Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kk Choi Sol Gyu-Kim Won Ho (Korea) 21-17, 17-21, 13-21.
Beregu campuran
Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei kk Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (China) 10-21, 13-21
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kk Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping (China) 16-21, 15-21