“MELAWAN pasukan terbawah liga sentiasa sangat sukar, apa lagi pertembungan derbi utara, Penang sudah banyak alami kekalahan dan mereka juga memburu kemenangan,” kata jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Shahrin, menafikan skuad bimbingannya bergelut mendapatkan kemenangan, menentang pasukan tercorot Liga Super itu.
Begitupun, Aildil mengakui beberapa aspek perlu diperbaiki terutamanya penyudah yang tumpul, tidak dapat bertahan dengan baik di penghujung perlawanan selain mudah kehilangan bola.
Menurutnya, perlawanan getir itu juga menunjukkan skuadnya yang dibarisi pemain muda mula mempelajari sesuatu.
“Kemenangan ini amat penting untuk kami, namun saya puji kedua-dua pasukan yang memberi aksi terbaik sehingga ke wisel penamat.
“Ya kami mencuba bermati-matian dan menamatkan perlawanan dengan tiga mata. Dari segi prestasi, saya sangat gembira walaupun ada ruang untuk pemain pelajari… 1-0 sudah cukup keranan paling penting tiga mata,” kata Aidil lagi.
Aidil berkata, perlawanan menentang Penang FC semalam menyaksikan skuadnya dapat menggunakan khidmat kelima-lima pemain import buat kali pertama sepanjang musim ini, selain isu kecederaan pemain juga berakhir.
“Kami harap tiga mata diperoleh ini menaikkan Kembali keyakinan pemain yang gagal menterjemahkan kemenangan pada tiga perlawanan lalu,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Penang FC Zainal Abidin Hassan mahu pemain kembali fokus dan tidak terbawa-bawa dengan kemarahan dek jaringan tunggal Kedah yang dianggap ofsaid oleh pemainnya.
“Saya perlu tonton semula rakaman kerana saya berada jauh dan tidak nampak sitausi sebenar. Nanti selepas menonton semula rakaman, jika benar kami akan buat surat protes, yang penting kita lihat dahulu rakaman.
📹 HIGHLIGHTS: @kda_fc 1-0 @Penang_FC
Jaringan Ronald Ngah pada awal babak kedua sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh kepada skuad Sang Kenari.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/Wjw3bcV437
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) September 2, 2022
“Pemain lebih menyedari situasinya, namun ada kemungkinan mereka (pemain) benar dan ada juga kemungkinan tidak benar,” kata Zainal, mengulas kepada reaksi pemainnya yang marah dan tidak berpuas hati apabila jaringan itu dibenarkan.
Menurut Zainal, dia memahami kekecewaan anak didiknya selepas dibolosi kerana pemainnya sedasr kelemahan pasukan itu adalah di benteng pertahanan.
Katanya, hari ini (semalam) pemain bertungkus lumus bertahan kerana mereka (pemain) berjanji tak akan biarkan gawang pasukan dibocori.
Mengakui kecewa tanpa tiga mata, Zainal tetap memuji pemainnya yang berjuang berhabis-habisan hingga saat akhir masih mencipta beberapa peluang menjaringkan gol.
Selain menghuni tangga tercorot liga, Penang FC gagal mencapai kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir dan jika kekalahan berterusan, skuad Harimau Kumbang dibimbangi tidak mampu bangkit lagi.
“Sebagai bekas pemain juga, saya tahu pasukan amat mahukan kemenangan kerana sukar untuk mereka kembalikan keyakinan tanpa kemenangan, dan tanpa keyakinan, pasukan tidak akan ke mana-mana,” katanya.
Penang FC terus menghuni tangga tercorot Liga Super selepas perlawanan derbi utara berkesudahan dimenangi Kedah FC menerusi jaringan Ronald Ngah pada minit ke-56.