SKUAD bola jaring kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 dengan langkah kanan apabila mudah membenam cabaran Brunei 78-22 dalam aksi di OCBC Arena, Singapura pada Sabtu.

Turun sebagai pasukan pilihan, Malaysia tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan dengan beberapa pertukaran pemain dan formasi dilakukan bagi mengenalpasti kekuatan setiap pemain.

Anak-anak buah Lisa Ann Beehaq ini tidak menunjukkan sebarang rasa canggung apabila sejak dari awal melakukan serangan dengan corak permainan pantas untuk mendahului 16-9 pada suku pertama.

 

Memasuki suku kedua Malaysia semakin mengganas dengan Brunei hanya berjaya menjaringkan satu mata sahaja untuk skuad kebangsaan mendahului 38-10 sebelum interval.

Gandingan duo ‘goal shooter’ negara, An Najwa Azizan dan Putri Intan Balqis sememangnya menakjubkan dalam perlawanan ini dengan kedua-dua mereka dilihat tenang menjaringkan mata demi mata sambil dibantu rakan-rakan sepasukan.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan C dan akan berhadapan dengan Chinese Taipei pada Isnin untuk melengkapkan aksi peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kedua.

Nordiyanah Sabadinee

Dalam aksi lain pada hari pertama kejohanan ini, tuan rumah Singapura mudah menewaskan Jepun 103-3 dalam Kumpulan A manakala Sri Lanka memenangi perlawanan pembukaan Kumpulan B menewaskan India 102-14.

Kejohanan Bola Jaring Asia ini juga adalah pusingan kelayakan ke Piala Dunia Bola Jaring 2023 yang bakal berlangsung di Cape Town, Afrika Selatan dengan dua pasukan teratas bakal layak ke Piala Dunia.