BEKAS pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menyokong penuh perlantikan E. Elavarasan sebagai ketua jurulatih Bawah 23 (B-23) kebangsaan.
Beliau juga berpendapat jurulatih senior, Kim Pan-gon dan E. Elavarasan mungkin mempunyai persefahaman yang baik demi pembangunan bola sepak kebangsaan.
Jelasnya, sebagai rakyat Malaysia, beliau menerima baik segala keputusan yang dibuat FAM demi kecemerlangan bola sepak negara pada masa hadapan.
“Apa yang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) fikirkan yang terbaik dan saya ingin beritahu di sini dialah yang mengetahui jurulatih yang sesuai pada masa kini kerana dia melatih pasukan ini.
“Mungkin Kim dan Ela mempunyai persefahaman antara satu sama lain dan apa kehendak pasukan-pasukan Bawah 23 tahun dan skuad kebangsaan.
“Hanya saya ingin katakan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada jurulatih Bawah 23 tahun Elavarasan atas perlantikannya sebagai jurulatih B-23 kebangsaan.
“Apa yang kita mahukan sebagai rakyat Malaysia, sebagai peminat bola sepak dan bekas jurulatih, tentunya kita hendak melihat pasukan kita berjaya. Itulah yang kita harap mungkin kepada satu tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (AGM) ke-7 pada Sabtu.
Rajagobal sebelum ini pernah melatih skuad kebangsaan dan beliau pernah melakar sejarah kegemilangan bola sepak negara apabila menjadi jurulatih pertama membawa Malaysia menjuarai Kejohanan Bola Sepak Asean AFF yang kini diberi nama baru iaitu Piala Mitsubishi Electric AFF.