KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, menyifatkan kemenangan 5-0 ke atas Melaka United, semalam, sebagai tonik terbaik menjelang aksi final Piala FA, 10 September depan.

Menurut Nafuzi, lebih menggembirakan apabila dua penyerangnya, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche masing-masing menjadi penjaring gol TFC termasuk hatrik dalam perlawanan itu.

“Sudah lama TFC tak menang dengan jaringan yang besar dan keputusan ini saya lihat memberi impak kepada Sherman dan Tchetche terutama dari aspek keyakinan.

“Kemenangan ini juga baik untuk menaikkan moral sebagai persiapan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di final Piala FA, minggu depan,” jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan.

Tchetche muncul wira Sang Penyu apabila meledak hatrik menerusi jaringan pada minit dalam masa 14 minit selain jaringan awal daripada Sherman dan Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim.

Keputusan itu mencerahkan peluang TFC memburu kedudukan tiga teratas Liga Super apabila hanya ketinggalan tiga mata di belakang Negeri Sembilan dengan baki lima perlawanan.

“Peluang masih terbuka untuk TFC untuk mencapai sasaran tiga terbaik. Cuma kami perlu menang baki perlawanan dan berharap ada pasukan akan keciciran mata,” jelas Nafuzi lagi.