PENYERANG prolifik Selangor FC, Herlison Caion de Souza tidak pasti punca sebenar pasukannya terus gagal mencipta kemenangan sejak beberapa perlawanan lepas.

Menurutnya, pasukan telah berjuang habis-habisan dan memberikan segala kudrat demi pasukan namun ianya masih gagal menjelmakan kemenangan bagi pasukan Gergasi Merah.

Biarpun gagal mencipta kemenangan, Caion mengakui kehadiran jurulatih baharu, Nidzam Jamil dilihat sedikit memberi sinar baharu untuk skuad yang mempunyai sejarah yang gah di peringkat domestik itu.

Herlison Caion berjaya menggelecek melepasi Shahrol Saad untuk gol penyamaan Selangor FC.

Ditanya tentang isu melibatkan penyokong, dia faham apa yang dirasai penyokong sehingga membuat demonstrasi atau mogok demi melihat pasukan kesayangannya kembali bangkit.

Biarpun prestasi Selangor FC agak goyah, dia tetap berharap penyokong terus berada di belakang pasukan kerana mereka akan sentiasa memberikan segala-galanya demi penyokong Gergasi Merah.

“Secara jujurnya saya tidak tahu apa yang berlaku pada Selangor FC. Kita sebuah pasukan yang baik. Kita akan terus perbaiki corak permainan dan terus memberikan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya.

Kesebelasan utama Selangor FC pada aksi menentang Johor Darul Takzim FC dalam saingan Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

“Saya rasa kita harus lebih mengawal permainan dan melakukan hantaran pendek. Dalam perlawanan hari ini, kita kembali mampu mengawal permainan, tidak seperti sebelum ini kerana kita terlampau banyak bertahan.

“Saya rasa kehadiran jurulatih baharu ini sedikit memperbaiki corak permainan kami. Saya faham apa yang dirasakan peminat kerana Selangor adalah satu pasukan yang baik.

“Mereka berhak untuk menyokong atau tidak menyukai kami tetapi kami telah memberikan yang terbaik semasa berada di padang,” ujarnya ketika ditemubual media di Stadium MBPJ.