EDISI ke-31 Piala FA menemukan Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) buat pertama kali di perlawanan akhir dalam sejarah pertandingan ini sejak mula dipertandingkan pada tahun 1990.

Ini adalah final kelima buat Terengganu layak ke final selepas melakukannya pada 1999, 2000, 2004 dan 2011. Selepas 11 tahun, skuad Peteh sekali lagi ke final dan pertama kali sejak penswastaan selepas menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi sepakan penalti.

Terengganu FC muncul juara pada tahun 2000 menewaskan Pulau Pinang 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar di Stadium Batu Kawan sekaligus memadam kehampaan tewas juga menerusi penalti pada tahun 1999 keatas Kuala Lumpur di Kuala Terengganu.

 

Terengganu juara Piala FA 2011

 

Tahun 2004, Skuad Penyu kembali ke final namun tewas kepada Perak 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum layak sekali lagi ke final pada 2011 dan muncul juara menewaskan pasukan jiran, Kelantan 2-1 juga di Bukit Jalil.

Pada tahun ini menyaksikan Terengganu bakal berhadapan jaguh bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim yang memburu kejayaan kedua dalam Piala FA dan trofi ke-20 dalam sejarah sejak kelab itu ditubuhkan pada 2013.

Ini adalah final Piala FA ketiga JDT selepas berjaya menundukkan Penang FC 6-1 pada aksi separuh akhir. Ini juga adalah penampilan semula JDT di final Piala FA selepas kali terakhir melakukannya pada 2016.

JDT juara Piala FA 2016

Pada tahun pertama penubuhan kelab ini pada 2013, JDT layak ke final namun muncul naib juara selepas tewas kepada Kelantan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Harimau Selatan tidak menoleh kebelakang lagi selepas itu.

Tiga tahun kemudiannya selepas setahun bergelar juara Piala AFC, JDT muncul juara Piala FA buat kali pertama pada 2016 selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam.

Jadual yang padat dan bertindih dengan perlawanan Liga Juara-Juara AFC menyebabkan JDT tidak terlalu menumpukan perhatian kepada saingan Piala FA dari 2017 hingga 2019 namun tahun ini mereka dilihat lebih dahaga untuk memenangi piala ini.

Aksi final tahun ini pastinya akan menjadi pertembungan klasik antara kedua-dua pasukan dengan rekod di Liga Super lebih memihak kepada JDT yang berjaya memenangi kedua-dua perlawanan di tempat sendiri dan juga di tempat lawan.

Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi akan menjadi saksi siapakah yang bakal bergelar juara dan bakal mewakili negara ke kejohanan Piala AFC tahun hadapan.

Selamat maju jaya buat kedua-dua pasukan.