SEBANYAK 70 emas disasar kontinjen Wilayah Persekutuan (Wipers) pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 2022 yang bakal berlangsung pada 16-24 September 2022 ini.
Membuktikan kesungguhan itu, Wipers menghantar kontinjen terbesar dengan penyertaan keseluruhan 766 atlet dan pegawai (603 atlet) membabitkan 33 jenis sukan termasuk dua sukan demonstrasi.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sebagai tuan rumah, Wipers perlu muncul juara selepas temasya pada 2018, di Perak menyaksikan kontinjen itu muncul naib juara.
“Berdasarkan prestasi semasa atlet-atlet Wilayah Persekutuan ketika ini, sasaran yang ditetapkan amat realistik.
“Malah ada seorang atlet kita sasarkan memenangi enam pingat emas,” kata Shahidan dalam sidang media, selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma Ke-20 2022 di Dewan Serbaguna, Kementerian Wilayah Persekutuan pada Selasa.
Sebagai menyuntik motivasi atlet, Shahidan turut insentif kemenangan.
Pemenang pingat emas individu bakal memeperoleh wang tunai RM5,000, manakala perak dan gangsa pula masing-masing RM2,000 dan RM1,000.
Bagi pemenang pingat emas, perak dan gangsa berpasukan pula, akan menerima RM3,000-RM4,000; RM1,000-RM1,500; dan RM500-RM700.
Beliau berkata, mana-mana atlet yang mencipta rekod baru Sukma dan kebangsaan, akan turut diberi insentif yang akan diumumkan kelak.
Untuk rekod, kali terakhir kontinjen Wilayah Persekutuan muncul juara pada SUKMA 2014 di Perlis.
Wipers muncul naib juara pada Sukma 2018 di Perak dengan pungutan 52 pingat emas, 38 perak dan 50 gangsa serta mencipta satu rekod baharu kebangsaan serta tujuh rekod baharu Sukma.