MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan semua pihak bersetuju dengan sasaran 36 pingat emas di temasya Sukan Sea Vietnam 2021.

Manakala, selebihnya daripada 146 pingat yang disasarkan, kutipan itu hadir daripada 35 pingat perak dan 75 pingat gangsa.

“Berdasarkan prestasi semasa sebanyak 15 jenis sukan yang di sertai oleh atlet negara dijangka akan menyumbangkan 36 pingat emas.

“Sukan terjun dan olahraga di jangka menjadi lubuk pingat emas negara. Kedua sukan ini mampu menyumbang lebih dari 5 pingat emas,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang di MSN, Bukit Jalil pada Rabu.

 

Ahmad Faizal berkata, melihatkan kepada trend prestasi semasa bonus pingat emas mungkin mampu diberikan oleh sukan taekwondo, wushu, petanque, pencak silat, bina badan dan beberapa sukan lagi.

Namun begitu, sebanyak 72 pingat (25 emas, 18 perak & 29 gangsa) daripada 27 jenis sukan dan 68 acara yang dimenangi di Sukan Sea Filipina tidak dapat dipertahankan kali ini kerana tidak dipertandingkan di Sukan Sea Vietnam 2021.

“Seramai 338 orang atlet pertama kali bertanding di Sukan Sea dan prestasi mereka juga belum dapat di buktikan di pentas Sukan Sea.

“Walau apa pun alasan, kekangan dan kekurangan saya tetap yakin atlet-atlet negara akan berjuang habis-habisan untuk memenangi pingat emas bagi rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.