KELAYAKAN ke peringkat 16 terbaik buat Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) kembali terbuka luas apabila Ulsan Hyundai berjaya menewaskan Kawasaki Frontale 3-2 dalam pertemuan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
Ulsan Hyundai turun dengan skuad yang lengkap berbanding Kawasaki yang masih melakukan penggiliran pemain dengan beberapa perubahan dilakukan dalam kesebelasan utama berbanding ketika menewaskan JDT tempoh hari.
Hasilnya, kelab Republik Korea itu lebih banyak mengasak dan akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-14 apabila Leonardo Nascimento berjaya menolak masuk hasil selepas bola rembatan Valeri Qazaishvili berjaya ditampan pertahanan Kawasaki.
Enam minit berselang, Ulsan menggandakan kedudukan apabila kali ini Leanardo bertindak sebagai pembantu jaringan apabila umpanan beliau menemui Um Won-Sang yang merembat kemas ke gawang.
Ketika perlawanan separuh masa pertama berbaki lima minit, Leandro Damiao memberikan nafas kepada Kawasaki Frontale apabila berjaya menanduk masuk umpanan Marcinho untuk keputusan 2-1.
Bermula babak kedua, Ulsan Hyundai tidak menunggu lama untuk kembali mendahului dengan dua gol kali ini menerusi jaringan menarik Valeri Qazaishvili yang berjaya melepasi celah kaki penjaga gol pada minit ke-47.
Jurulatih Kawasaki, Toru Oniki melakukan beberapa pertukaran sekaligus menambah sengat jentera serangan Kawasaki tetapi sering kali digagalkan oleh ketangkasan Jo Hyeon-woo di gawang Ulsan.
Ulsan dibawah kendalian Hong Myung Bo tenang bertahan dan sering melakukan serangan balas sekaligus memberikan kesukaran kepada barisan tengah dan pertahanan Kawasaki Frontale yang mencari gol kedua.
Kegigihan Kawasaki mengasak memberikan hasil apabila Leandro Damiao berjaya merapatkan jurang dengan gol kedua peribadi pada masa kecederaan babak kedua namun sudah terlambat buat Kawasaki untuk bangkit menyamakan kedudukan.
Keputusan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Ulsan naik ke tangga teratas liga dengan 10 mata manakala Kawasaki kedua dengan lapan mata bergantung kepada keputusan perlawanan di antara JDT dan Guangzhou pada sebelah malam.
Perlawanan terakhir Kumpulan I pada Sabtu nanti bakal menjadi penentuan siapakah yang menjadi juara kumpulan dan mungkin pasukan tempat kedua terbaik yang bakal layak ke peringkat seterusnya.
Ulsan akan berhadapan JDT di Iskandar Puteri manakala Kawasaki bertemu Guangzhou di Larkin dengan kedua-dua perlawanan dilangsungkan serentak pada jam 5 petang.