BARISAN pemain dan jurulatih Terengganu FC (TFC) akan menerima durian runtuh daripada kerajaan negeri jika berjaya menjulang trofi Piala FA, Sabtu ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, imbuhan berbentuk wang tunai itu adalah suntikan moral tambahan untuk TFC bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di final.
“Saya lihat semangat pasukan berada pada tahap terbaik walaupun akan berdepan tentangan sengit daripada JDT di perlawanan akhir nanti.
“Jika pemain dapat membaiki sedikit kelemahan, saya yakin TFC mampu menewaskan JDT.
“Mengambil kira semangat itu, akan ada berita gembira menanti sekiranya TFC menang,” katanya yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Samsuri ditemui selepas memberi kata-kata semangat kepada skuad Sang Penyu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.
Sementara itu, beliau turut berpesan kepada penyokong yang akan ke Stadium Nasional Bukit Jalil supaya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi walau apa jua keputusan perlawanan.
“Kalah menang itu adalah adat permainan dan saya harap penyokong TFC menjaga tatatertib dan kekal bertenang jika ada keputusan yang tidak berpihak kepada kita,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.