PELUANG terhidang buat skuad hoki kebangsaan menempatkan diri di kedudukan terbaik pada saingan Hoki Piala Dunia tahun depan.

Undian yang disiar secara langsung itu disaksikan skuad kebangsaan, mencetus sinar buat ketua jurulatih Arul Selvaraj.

“Boleh dilihat undian itu memihak kita, tentunya saya gembira dan kami harus berusaha pamerkan aksi terbaik dan melepasi saingan peringkat kumpulan lalu bermain di suku akhir.

“Secara realistiknya, kami mesti menang pertemuan menentang New Zealand dan Chile selain bermain bijak ketika berdepan Belanda,” kata Arul.

Keyakinannya Arul itu bukan sahaja bersandarkan undian yang memihak Malaysia, malah latihan keras yang dilakukan selain perlawanan persahabatan yang diatur termasuk jelajah Eropah, saingan Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara.

 

Sementara itu, ketua pasukan Marhan Jalil berkata, dia amat positif dengan undian itu.

“Satu petanda positif untuk kita tamatkan saingan di kedudukan yang tinggi, namun tidak boleh ambul mudah.

“Paling penting bekerja lebih keras untuk pastikan kita meraih pencapaian lebih tinggi di piala dunia nanti,” katanya,

Skuad kebangsaan akan ke Barcelona 14 September ini, bagi menghadapi siri perlawanan persahabatan menentang Sepanyol dan Perancis.

Kali terakhir Speedy Tigers menang ke atas Belanda pada saingan Piala Dunia 1971 di Kuala Lumpur, dengan kemenangan 2-1