DUA jaringan Bergson Da Silva membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali merampas tangga teratas Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan kemenangan ke atas Guangzhou FC 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Benjamin Mora melakukan banyak perubahan dalam skuad dengan Akhyar Rashid, Syameer Kutty Abba, Carli De Murga dan Syahmi Safari diberikan kepercayaan untuk memulakan permainan dengan Bergson kembali di bahagian serangan.

Menghadapi lawan yang menggunakan taktikal 5-4-1 dengan keseluruhan pemain dilihat berada di dalam kawasan sendiri, JDT dipaksa bekerja keras untuk memecah benteng.

Akhirnya pada minit ke-16, Bergson memecah kebuntuan apabila berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disudahkan dengan baik oleh beliau untuk gol pembukaan JDT yang nyata menggembirakan 10,352 penyokong JDT di stadium.

JDT yang menguasai lebih 80% permainan mempunyai peluang daripada Bergson, Akhyar dan Shahrul Saad tetapi dihampakan penyudah yang tumpul dan tiang gol untuk kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan JDT menambah sengat di barisan tengah dengan membawa masuk Safiq Rahim dan Mohamadou Sumareh dan dilihat dapat menghantar bola ke hadapan dengan lebih pantas.

Percubaan demi percubaan dilakukan JDT tetapi skuad muda Guangzhou ampuh bertahan dengan aksi tangkas penjaga gol juga berjaya menafikan percubaan Bergson dan Carli De Murga.

Ketika permainan hampir tamat, JDT dihadiahkan satu lagi sepakan penalti apabila Ramadhan Saifullah dikasari dan Bergson sekali lagi menyudahkannya untuk kedudukan 2-0 sekaligus membantu JDT mengutip tiga mata penuh untuk mendahului Kumpulan I dengan 10 mata dari lima perlawanan.

JDT bakal berhadapan Ulsan Hyundai manakala Guangzhou akan berhadapan Kawasaki pada Sabtu sebagai perlawanan penentuan untuk mencari juara kumpulan dan layak ke peringkat seterusnya.