KETIADAAN kelibat pemain negara pada final Siri Antarabangsa Remaja Malaysia berakhir hari ini menjadi tanda tanya, sejauh mana persiapan skuad negara menghadapi Kejohanan Remaja Dunia yang bakal berlangsung di Santander, Sepanyol, 17 hingga 30 Oktober depan.

Pada aksi di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, pemain remaja negara gugur seorang demi seorang di peringkat separuh akhir sekali gus menyaksikan Jepun memonopoli perlawanan akhir dengan terselit hanya satu wakil Thailand.

Mengulas mengenai isu tersebut, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh tidak melatah, sebaliknya menganggap prestasi pemain di kejohanan ini, menjadi landasan terbaik buat barisan kejurulatihan skuad remaja, memperbaiki prestasi.

“Kejohanan ini membuka mata kita kerana selama ini kita tidak melihat pemain dari Korea, China, Jepun. Saya rasa kita ada sedikit masa untuk memperbetulkan kedudukan sebelum ke Kejohanan Remaja Dunia.

“Misbun (Datuk Misbun Sidek, Pengarah Teknikal Skuad Remaja Kebangsaan) dan pasukannya perlu berkerja lebih keras, melakukan sesuatu untuk menjadikan pemain kita lebih baik di kejohanan itu nanti.

Misbun Sidek

“Misbun dan barisan kejurulatihan perlu lakukan bedah siasat membabitkan kejohanan ini secepat mungkin,” katanya, ketika ditemui di Putrajaya pada Sabtu.

Pada kejohanan terbabit, pemain harapan negara Justin Hoh tersingkir di separuh akhir.

Turut tersingkir di separuh akhir, beregu campuran Choi Jian Sheng-Lai Ting Cen dan beregu wanita Chan Wen Tse-Siti Zulaikha.

Justin tidak tewas sejak Mei tahun ini, mengumpul empat gelaran tahun ini.

Antara gelaran diraihnya, Kejohanan Remaja Kebangsaan, Kejohanan Antarabangsa Bonn, Terbuka Croatia dan Kejohanan Antarabangsa Remaja India.

Dalam pada itu, Kenny juga mengesahkan skuad ke Kejohanan Remaja Dunia belum diputuskan.

Difahamkan, pemilihan pemain akan dilakukan minggu hadapan.

BAM sebelum ini menetapkan sasaran satu kejuaraan di kejohanan terbabit.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah sekali muncul juara Dunia berpasukan iaitu pada 2011.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang satu gelaran, pada 2018 menerusi Goh Jin Wei.