PEMAIN muda prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanapi meluahkan terima kasih kepada pemilik kelab Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejurus pasukan itu dinobatkan sebagai juara baharu Piala FA 2022.
JDT menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 yang menyaksikan gol pertama perlawanan dijaringkan oleh Arif Aiman.
“Alhamdullilah, terima kasih kepada TMJ kerana beliau saya ada di sini. Juga kepada semua barisan jurulatih, staf pasukan, rakan-rakan serta keluarga,” jelasnya selepas perlawanan.
Arif Aiman dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala FA tahun ini.
Pemain berusia 20 tahun itu semakin menjadi watak penting dalam skuad utama JDT dengan mempamerkan prestasi permainan yang baik, malah lebih menarik dia sukar disekat pihak lawan dengan kelajuan yang dimiliki.
Dengan kemenangan ini juga, JDT terus mengumpul trofi kejuaraan Liga Malaysia termasuk gelaran kali kedua juara Piala FA selepas 2017.